Rio ratapi kematian lelaki di tangan polis ‘korup’

Rio ratapi kematian lelaki di tangan polis ‘korup’

Polis tentera Rio berkata, Marcelo Guimaraes terperangkap dalam kejadian berbalas tembakan.

Peserta demonstrasi berkumpul di Rio untuk membantah keganasan polis selepas pengebumian Marcelo Guimaraes. (Gambar Twitter)
RIO DE JANEIRO:
Orang ramai berkumpul di sebuah tanah perkuburan Rio de Janeiro pada Selasa untuk pengebumian Marcelo Guimaraes, mangsa terbaru yang dibunuh polis Brazil.

Guimaraes meninggal dunia Isnin lalu di pintu masuk sebuah kawasan setinggan di ibu negara Brazil itu, selepas menghantar anaknya ke sekolah sempena hari pertama persekolahan.

Keluarganya berkata, polis tentera Rio, yang terkenal dengan serbuan ganas ke atas kawasan kejiranan miskin dan kulit hitam, menembak lelaki itu daripada sebuah kenderaan berperisai ketika beliau menunggang motosikalnya.

Keganasan polis ialah masalah berterusan di Brazil, dan khasnya di Rio dengan kira-kira 17 juta penduduk.

Anggota keselamatan di ibu negara Brazil itu membunuh 1,160 orang dari Januari hingga November 2020, jumlah hampir sama dengan seluruh Amerika Syarikat.

Pengkritik mendakwa Presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro, yang sudah lama tinggal di Rio, memburukkan lagi keadaan dengan menggesa polis tidak menunjukkan belas kasihan terhadap penjenayah yang dilabelkannya “lipas”

Anak perempuan Guimaraes, Vitoria mendakwa polis membunuh bapanya.

“Mereka ialah penjahat, yang korup,” katanya selepas pengebumian bapanya.

“Kerajaan membunuh orang miskin, orang kulit hitam, pekerja dan penduduk di kawasan setinggan. Bapa saya jujur. Mereka (polis) tidak.”

Polis tentera Rio dalam kenyataan berkata, Guimaraes terperangkap dalam kejadian berbalas tembakan.

“Ketika tembakan berlaku, seorang penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ditembak. Malangnya, mangsa maut akibat kecederaan dialaminya.”

Polis berkata, tahap keselamatan di kawasan terbabit merosot baru-baru ini dan anggotanya turut ditembak.

Katanya, kematian itu masih disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.