Rajinikanth tak jadi ceburi politik kerana ‘amaran tuhan’

Rajinikanth tak jadi ceburi politik kerana ‘amaran tuhan’

Pengumuman itu dibuat sehari selepas pelakon berusia 70 tahun itu dibenarkan keluar hospital akibat tekanan darah tinggi.

Rajinikanth pada awal bulan ini mengumumkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik dalam usaha membentuk kerajaan Tamil Nadu yang ‘bebas rasuah’. (Gambar AP)
CHENNAI:
Bintang filem Tamil, Rajinikanth membatalkan rancangannya menceburi politik selepas mengalami masalah kesihatan yang disifatkannya sebagai “amaran daripada tuhan”.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas pelakon filem aksi berusia 70 tahun itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital di Hyderabad Ahad lalu, susulan rawatan tekanan darah tinggi selama tiga hari.

Awal bulan ini, Rajinikanth mengumumkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik pada Januari depan dalam usaha membentuk kerajaan “bebas rasuah” di negeri kelahirannya, Tamil Nadu.

Bagaimanapun, beliau menerusi kenyataan tiga muka surat yang dimuat naik ke Twitternya pada Selasa menjelaskan alasan beliau membatalkan hasrat menyertai pilihan raya Tamil Nadu pada Mei depan.

“Saya meminta maaf kerana tidak dapat melancarkan parti politik ini.

“Saya akan berkhidmat kepada rakyat dalam apa saja cara yang mampu, tanpa menyertai politik,” demikian menurut surat berbahasa Tamil itu.

Katanya, beliau tidak mahu berhenti separuh jalan selepas memulakan kempen besar-besaran.

Pada 2017, Rajinikanth menyuarakan hasrat menyertai politik, tetapi peminatnya tertunggu-tunggu sehingga bulan ini apabila beliau mengumumkan partinya akan membawa politik “jujur dan telus” ke Tamil Nadu.

Pelakon itu membuktikan kekuatan politiknya pada 1996 dengan menggesa peminatnya menentang kerajaan Tamil Nadu, yang kemudiannya tewas dalam pilihan raya.

Rajinikanth meneruskan kerjaya perfilemannya walaupun mengalami masalah kesihatan dan menjalani penggambaran filemnya di Hyderabad ketika beliau jatuh sakit minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.