Serangan masjid NZ hanya dapat dielak ‘secara kebetulan’, menurut laporan inkuiri

Serangan masjid NZ hanya dapat dielak ‘secara kebetulan’, menurut laporan inkuiri

Suruhanjaya diraja dalam laporan 800 muka suratnya berkata, maklumat tidak lengkap mengenai Brenton Tarrant sebelum serangan itu tidak cukup untuk menjadikannya ancaman.

Tembakan rambang ke atas dua masjid di Christchurch mengorbankan 51 jemaah Islam. (Gambar AFP)
WELLINGTON:
Perkhidmatan keselamatan New Zealand tidak cukup memfokuskan ancaman daripada keganasan berhaluan kanan sebelum serangan masjid Christchurch tahun lalu, tetapi pembunuhan itu hanya dapat dielakkan “secara kebetulan”, demikian menurut inkuiri.

Suruhanjaya diraja – siasatan kehakiman paling berpengaruh di bawah undang-undang New Zealand, menggesa perubahan menyeluruh ke atas operasi anti-keganasan dalam respons terhadap serangan ketuanan kulit putih yang mengorbankan 51 jemaah Islam.

Laporan 800 muka surat itu berkata, agensi perisikan meletakkan fokus “tidak sesuai” terhadap ekstremisme Islam sebelum serangan itu dan tidak memeriksa ancaman keganasan berhaluan kanan secukupnya.

Bagaimanapun, ia tiba-tiba berhenti daripada mengatakan pihak berkuasa boleh mengelakkan pembunuhan itu, dan mendapati maklumat tidak lengkap mengenai pembunuh Brenton Tarrant sebelum serangan itu tidak cukup untuk menjadikannya ancaman.

“Tiada cara munasabah untuk mengesannya, kecuali secara kebetulan,” kata laporan itu berhubung serangan pada Mac 2019, di mana Tarrant menyasarkan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menunaikan solat Jumaat di bandar itu.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyambut baik kajian itu dan berikrar akan mengkaji semua 44 cadangan yang dikemukakan.

Katanya, satu lagi kritikan utama dalam laporan itu – penguatkuasaan tidak ketat undang-undang senjata api membolehkan Tarrant menghimpunkan senjata semi automatik ala tentera – sudah ditangani kerajaannya.

“Suruhanjaya itu tidak mendapati isu ini dapat menghalang serangan itu, tetapi kedua-duanya ialah kegagalan dan untuk itu saya memohon maaf.”

Tarrant, 30, ialah individu pertama di New Zealand yang dipenjarakan seumur hidup tanpa peluang mendapat parol pada Ogos lalu, selepas mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 dakwaan membunuh dan satu tuduhan keganasan kerana menyerang dua masjid di Christchurch pada Mac 2019.

Suruhanjaya diraja itu pada asalnya dijadual mengemukakan laporannya pada Disember 2019, tetapi ditangguhkan akibat tindak balas yang banyak dan pandemik Covid-19.

Suruhanjaya yang diketuai Hakim Mahkamah Agung, William Young dan bekas diplomat, Jacqui Caine menemu bual lebih 400 orang dan menerima 1,000 penghujahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.