Banjir di selatan Thailand korban 26 nyawa

Banjir di selatan Thailand korban 26 nyawa

Di wilayah paling teruk dilanda banjir, Nakhon Si Thammarat, 21 orang disahkan meninggal dunia.

Banjir besar di selatan Thailand mengorbankan 26 nyawa setakat ini dan melibatkan lebih 500,000 isi rumah. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Banjir besar di selatan Thailand susulan hujan monsun mengorbankan sekurang-kurangnya 26 nyawa dan melibatkan lebih 555,000 isi rumah.

Pada kemas kini jam 6 petang (waktu tempatan), Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand menyatakan, di Nakhon Si Thammarat, iaitu kawasan paling teruk dilanda banjir, 21 maut, manakala di Surat Thani dan Songkhla masing-masing 2 maut dan Trang (seorang) sejak 25 Nov.

“Situasi bertambah baik sedikit dan paras air menurun. Bagaimanapun sejumlah 282,691 keluarga di lima wilayah masih terkesan dengan banjir,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha melawat Nakhon Si Thammarat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, termasuk petani dan nelayan yang terjejas.

Beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan akan menyediakan bantuan yang sepatutnya dan mempercepatkan proses pemulihan selepas banjir, termasuk membaiki rumah yang rosak dan infrastruktur.

“Agensi dan jabatan berkaitan akan mempercepatkan usaha mengalirkan air banjir, selain mengkaji projek mitigasi banjir bagi menyelesaikan isu banjir di masa hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.