Serangan gereja Nice, kes pancung guru ada kaitan, kata pendakwa Perancis

Serangan gereja Nice, kes pancung guru ada kaitan, kata pendakwa Perancis

Satu-satunya kaitan antara serangan di Paris dan gereja di Nice ialah kedua-dua penyerang menggunakan pisau besar dan memenggal, atau cuba memenggal mangsa mereka.

Anggota polis mengawal di sekitar Gereja Notre Dame di Nice bulan lalu. (Gambar AP)
PARIS:
Lelaki yang disyaki membunuh 3 individu di sebuah gereja di Nice mempunyai gambar pembunuh yang memenggal seorang guru sekolah menengah berdekatan Paris 13 hari terdahulu, kata pendakwa raya pada Jumaat.

Penemuan gambar dalam telefon bimbit lelaki Tunisia, Brahim al-Aouissaoui, 21, yang cedera ditembak polis dalam serangan 29 Okt lalu, mungkin menunjukkan motif sama di sebalik 2 serangan itu.

Pendakwa raya anti-keganasan dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan ke atas telefon bimbit Aouissaoui turut mendedahkan gambar dikaitkan dengan kumpulan IS, tetapi mereka tidak memberitahu apakah gambar itu dan bagaimana ia dikaitkan dengan kumpulan terbabit.

Guru sekolah menengah, Samuel Paty, dibunuh seorang remaja berasal dari Chechen, yang sebelum melancarkan serangan itu, merakamkan mesej beliau mahu menghukum guru sejarah itu kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada pelajar kelas sivik.

Penyerang itu, yang dikenal pasti pendakwa raya sebagai Abdoulakh Anzorov, ditembak mati.

Sehingga kini, satu-satunya kaitan antara serangan di Paris dan gereja Nice ialah kaedah yang digunakan. Dalam kedua-dua kes itu, penyerang menggunakan pisau besar dan memenggal, atau cuba memenggal mangsa mereka.

Serangan pisau di Nice mendorong kerajaan meningkatkan amaran keselamatan ke tahap tertinggi untuk semua wilayah dan Presidennya, Emmanuel Macron berkata, lebih ramai tentera akan dikerahkan untuk mengawal lokasi penting seperti rumah ibadat dan sekolah.

Perancis dan Jerman pada Selasa mendesak sempadan Kesatuan Eropah diperketatkan untuk mengelakkan “ancaman keganasan” seperti yang disifatkan Macron, selepas 8 orang dibunuh militan disyaki di Paris, Nice dan Vienna dalam tempoh sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.