4 negara Amerika Selatan kerjasama halang aktiviti penangkapan ikan haram oleh nelayan China

4 negara Amerika Selatan kerjasama halang aktiviti penangkapan ikan haram oleh nelayan China

NGO alam sekitar Greenpeace dan Oceana berulang kali memberi amaran mengenai keberadaan kapal nelayan China secara besar-besaran.

Chile, Colombia, Ecuador dan Peru berkata ia akan memantapkan “kerjasama dan pertukaran maklumat masa sebenar” aktiviti penangkapan ikan secara haram di zon ekonomi eksklusif mereka. (Gambar AFP/SCMP)
PETALING JAYA:
Empat negara Amerika Selatan memutuskan untuk bekerjasama dalam mencegah aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh kapal nelayan China di zon ekonomi eksklusif mereka, lapor South China Morning Post.

Chile, Colombia, Ecuador dan Peru melancarkan kerjasama untuk “mencegah, menghalang dan menghadapi” aktiviti penangkapan ikan secara haram berhampiran zon ekonomi eksklusif mereka di Lautan Pasifik.

Kenyataan bersama itu tidak menamakan China secara spesifik, tetapi kumpulan alam sekitar Greenpeace dan Oceana berulang kali memberi amaran mengenai keberadaan kapal nelayan China secara besar-besaran di perairan itu.

Empat negara terbabit berkata mereka akan memantapkan “kerjasama dan pertukaran maklumat masa sebenar” berhubung masalah aktiviti penangkapan ikan secara haram di pesisiran pantai mereka.

Ecuador pada Julai mengadu bahawa terdapat 300 kapal pukat tunda China menjalankan aktiviti penangkapan ikan berdekatan Galapagos dan berkata, separuh daripadanya mematikan sistem penjejak supaya lokasi mereka tidak dapat dikenal pasti.

Beijing pada awal Ogos melarang kapal nelayan mereka menjalankan aktiviti penangkapan ikan berhampiran Galapagos dari September hingga november tahun ini.

Kapal nelayan China terbabit bagaimanapun menuju ke selatan melalui perairan antarabangsa dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan di zon ekonomi eksklusif Peru dan Chile, menurut NGO Oceana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.