
Macron berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Al Jazeera pada Sabtu, berikutan ketegangan hubungan antara kerajaan Perancis dengan dunia Islam berhubung karikatur berkenaan.
“Saya memahami sentimen yang disuarakan dan saya menghormatinya. Tetapi anda mesti memahami peranan saya pada masa ini; ia melibatkan 2 perkara, iaitu mempromosi keamanan dan mempertahankan hak,” kata Macron.
“Saya akan terus mempertahankan kebebasan bersuara, menulis, berfikir dan melukis di negara saya,” tambahnya.
Macron juga menyelar “putar belit” pemimpin politik tertentu dan berkata, banyak orang didorong untuk percaya bahawa karikatur berkenaan adalah ciptaan negara Perancis.
“Saya rasa reaksi itu adalah hasil pembohongan dan putar belit terhadap kenyataan saya kerana orang salah faham bahawa saya menyokong karikatur berkenaan,” katanya.
“Karikatur berkenaan bukan projek kerajaan, tetapi lahir daripada sebuah akhbar bebas yang tiada hubungan dengan kerajaan,” tambahnya.
Macron merujuk kepada karikatur majalah Charlie Hebdo yang diterbitkan semula baru-baru ini bagi menandakan bermulanya perbicaraan berhubung serangan ke atas pekerja majalah berkenaan pada 2015.
Penerbitan karikatur berkenaan oleh majalah yang berpangkalan di Paris itu disebut-sebut sebagai punca serangan.