Kami tak dapat kawal pandemik, kata pegawai tinggi Rumah Putih

Kami tak dapat kawal pandemik, kata pegawai tinggi Rumah Putih

Ketua Kakitangan Rumah Putih Mark Meadows berkata kerajaan Amerika Syarikat tidak dapat mengawal wabak itu "kerana ia adalah jangkitan virus seperti selesema".

Mike Pence yang menaiki Air Force Two untuk menghadiri kempen pilihan raya secara berterusan, tidak memakai pelitup muka semasa menyertai kempen itu di Florida pada Sabtu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Susulan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pembantu kepada Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence, seorang pegawai tinggi Rumah Putih berkata kerajaan AS tidak dapat mengawal penularan Covid-19, lapor South China Morning Post.

“Kami tidak dapat mengawal pandemik dan hakikatnya kami akan mendapat rawatan vaksin dan mengambil langkah pencegahan yang lain,” kata Ketua Kakitangan Rumah Putih, Mark Meadows dan menambah pemerintahan Trump tidak dapat mengawal wabak itu “kerana ia adalah jangkitan virus seperti selesema”.

“Apabila kami melihat kepada peningkatan bilangan kes, apa yang kami perlu buat adalah memastikan kami memeranginya dengan rawatan dan vaksin serta mengambil langkah pencegahan seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka jika berupaya…kami akan menewaskannya kerana kami adalah orang Amerika dan kami berupaya.”

Ditanya kenapa Pence masih menghadiri kempen pilihan raya dan tidak menjalani kuarantin kendiri selepas ketua kakitangannya Marc Short dan sekurang-kurangnya 4 pembantu atau penasihatnya diuji positif, Meadows berkata sebagai seorang pekerja “perkhidmatan perlu” Pence dibenarkan menghadiri acara terbuka selagi beliau mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Garis panduan disediakan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mengarahkan pekerja perkhidmatan perlu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 untuk memakai pelitup muka selama 14 hari “sepanjang masa semasa bekerja”.

Pence, yang menaiki Air Force Two untuk menghadiri kempen pilihan raya secara berterusan, tidak memakai pelitup muka semasa menyertai kempen itu di Florida pada Sabtu.

Jurucakap kepada Pence, Devin O’Malley memberitahu pemberita Rumah Putih yang timbalan presiden itu dan isterinya Karen Pence diuji negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.