15 terbunuh di Nigeria sejak rusuhan terhadap polis bermula

15 terbunuh di Nigeria sejak rusuhan terhadap polis bermula

Tunjuk perasaan di seluruh negara berlanjutan sejak 7 Oktober susulan rakyat menuntut reformasi polis.

Orang ramai membuat demonstrasi jalanan menentang kekejaman polis di Lagos dalam satu tunjuk perasaan yang memasuki hari ke-12 sejak semalam. (Gambar AP)
ABUJA:
Sekurang-kurangnya 15 terbunuh sejak tunjuk perasaan membantah kekejaman polis meletus bulan ini di Nigeria, kata Amnesty International pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pertubuhan hak asasi itu berkata 2 pegawai polis adalah antara mangsa sementara ratusan orang cedera.

Tunjuk perasaan di seluruh negara telah berlanjutan sejak 7 Oktober walaupun unit Skuad Khas Anti Rompakan (SARS) yang kontroversi sudah dibubarkan.

Bantahan terhadap SARS berlangsung selama beberapa hari dan perusuh mengepung markasnya.

Mereka melaungkan “AKHIRI SARS” dan menuang cat merah pada jalan di hadapan bangunan itu – simbolik terhadap dakwaan pembunuhan oleh pegawai SARS.

Walaupun SARS telah dibubarkan, penunjuk perasaan meneruskan demonstrasi menuntut reformasi polis yang menyeluruh termasuk hukuman terhadap pegawai melakukan kesalahan, pembebasan tanpa syarat ke atas semua penunjuk perasaan yang ditahan dan pampasan untuk keluarga mangsa kekejaman polis.

“Pembubaran SARS hanya merupakan langkah pertama dalam komitmen kami terhadap penyusunan semula pasukan polis yang lebih meluas bagi memastikan bahawa tugas utama polis dan badan penguatkuasaan undang-undang yang lain tetap melindungi nyawa dan kehidupan rakyat kita,” ciap Presiden Muhammadu Buhari minggu lalu di Twitter.

Dalam laporan sebelum ini, Amnesty International berkata pihak berkuasa gagal menangani kekebalan yang dinikmati SARS, yang kekejaman dan rasuahnya disifatkan “semakin melampau.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.