Ribuan penunjuk perasaan ingkar larangan berkumpul di Bangkok

Ribuan penunjuk perasaan ingkar larangan berkumpul di Bangkok

Pada Khamis, kerajaan Thailand mengisytiharkan ’situasi darurat serius’ di Bangkok untuk mengharamkan perhimpunan 5 orang atau lebih.

Penunjuk perasaan di beberapa tempat di Bangkok antara lain menuntut peletkan jawatan perdana menteri, pembubaran Parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi institusi monarki. (Gambar AP)
BANGKOK:
Penunjuk perasaan terus mengingkari larangan berkumpul di ibu negara Thailand selama 4 hari berturut-turut dengan mengulangi tuntutan mereka, termasuk peletakan jawatan perdana menteri.

Penunjuk perasaan yang berkumpul di Victory Monument dan Asoke itu turut menggesa pembubaran Parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi institusi monarki.

Walaupun perintah darurat diisytiharkan di Bangkok melarang perhimpunan politik lebih daripada 5 orang, beribu-ribu penunjuk perasaan tetap berkumpul di Victory Monument dan Asoke bermula 4 petang (waktu tempatan) semalam.

Cuaca buruk dan perkhidmatan pengangkutan awam yang diberhentikan sementara nyata gagal menghalang penunjuk perasaan yang memakai baju hujan dan payung menyertai protes itu.

Selain 2 tapak protes utama itu, perhimpunan turut diadakan di Bang Na, Imperial Samrong di Samut Prakan, Central Plaza WestGate di Nonthaburi.

Pihak berkuasa menutup sementara beberapa stesen perkhidmatan transit aliran metropolitan (MRT) dan skitren sistem transit massa (Skitren BTS) Bangkok bermula 2.30 petang, semalam.

Selain itu, protes juga diadakan di seluruh negara diketuai oleh pergerakan belia, ‘The People’.

Pada Khamis, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengisytiharkan “situasi darurat serius” di Bangkok untuk mengharamkan perhimpunan 5 orang atau lebih, yang dilaksanakan pada 4 pagi (waktu tempatan) dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan selama 3 bulan yang dipimpin pelajar.

Selain itu, ia juga melarang penerbitan berita dan mesej dalam talian yang menjejaskan keselamatan negara dan menimbulkan ketakutan atau menyebarkan maklumat palsu.

Polis berkata, swafoto penunjuk perasaan di tapak protes boleh dijadikan bukti untuk mendakwa penunjuk perasaan kerana melanggar perintah darurat yang mengharamkan perhimpunan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.