6 ditahan sabung ayam ‘karate’ ketika PKP di Keningau

6 ditahan sabung ayam ‘karate’ ketika PKP di Keningau

Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM4,457 yang dipercayai hasil pertaruhan.

Polis turut merampas 18 ekor ayam jantan yang digunakan dalam aktiviti perjudian itu. (Gambar IPD Keningau)
KENINGAU:
Sekumpulan lelaki bukan saja tidak mempedulikan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, malah mengadakan aktiviti sabung ayam di Kampung Ulu Kikiran, Jalan Apin-Apin, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Shahrudin Mat Husain berkata, dalam serbuan kira-kira 4 petang itu, enam individu berusia 37 hingga 64 tahun ditahan dan 18 ekor ayam jantan yang digunakan untuk aktiviti perjudian dirampas.

“Siasatan mendapati aktiviti perjudian ini dipanggil sebagai sabung ayam ‘karate’, di mana ia melagakan ayam tanpa menggunakan senjata,” katanya ketika dihubungi.

Shahrudin berkata, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM4,457 yang dipercayai hasil pertaruhan dan peralatan seperti papan tulis.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.”

Beliau menasihatkan orang ramai terus mematuhi PKP dan SOP yang ditetapkan.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas selaras dalam usaha menangani penyebaran Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.