Mahkamah benar 11 saksi kes bicara Hasanah dijalankan secara tertutup

Mahkamah benar 11 saksi kes bicara Hasanah dijalankan secara tertutup

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan itu demi keselamatan negara.

Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luaran Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid berdepan tuduhan pecah amanah wang berjumlah RM50.4 juta milik kerajaan Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya 11 daripada 37 saksi kes perbicaraan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luaran Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid, memberi keterangan secara tertutup.

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata, beliau membenarkan permohonan itu demi keselamatan negara.

“Pihak pendakwaan akan mendedahkan hal-hal berkaitan keselamatan negara untuk tatapan orang awam selain mendapat liputan media secara meluas sekiranya bukti keterangan 11 saksi berkenaan berlangsung dalam mahkamah terbuka,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mempertimbangkan afidavit yang disahkan oleh ketua pengarah bahagian penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri.

Afidavit itu, katanya, antara lain menyebut bahawa sekiranya perbicaraan tidak diadakan secara tertutup, maka identiti saksi akan terdedah kepada umum.

“Ini akan menjejaskan kemampuan mereka untuk melaksanakan tugas secara efektif demi keamanan negara, malah turut membahayakan diri mereka.

“Kredibiliti jabatan penyelidikan jabatan perdana menteri juga akan terjejas teruk dan fungsi rahsianya akan banyak disekat dan dilumpuhkan.

“Berdasarkan alasan-alasan ini, saya mendapati bahawa pihak pemohonan telah memenuhi kesesuaian proses pengadilan mahkamah ini untuk membolehkan keterangan 11 saksi didengar secara tertutup demi keselamatan negara.

“Dengan ini, saya membenarkan permohonan (pihak pembelaan). Keterangan daripada 11 saksi itu akan dilangsungkan secara tertutup ini,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata demi keadilan, menjadi kewajipan mahkamah untuk menggunakan kuasanya sebagaimana diperuntukkan bawah Undang-Undang Mahkamah Kehakiman untuk mengarahkan mana-mana bahagian daripada proses perbicaraan kes tersebut diadakan secara tertutup.

“Dengan berbuat demikian, saya tidak mendapati bahawa responden (Hasanah) akan terganggu dalam proses untuk membela dirinya secara efektif. Respoden masih boleh melakukan pemeriksaan balas terhadap 11 saksi yang akan memberi keterangan secara tertutup,” katanya.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu ketua pengarah penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat ketua pengarah, bahagian penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.