Semua pemandu bas mini di Sandakan dikehendaki jalani saringan Covid-19 esok

Semua pemandu bas mini di Sandakan dikehendaki jalani saringan Covid-19 esok

Pemandu yang belum mendaftar untuk Kod Respon Pantas MySejahtera perlu mendaftar segera supaya mereka dapat memantau penumpang mereka.

Semua pengendali bas mini di Sandakan dikehendaki menjalani ujian swab Covid-19 yang dijalankan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah itu bermula 9 pagi esok. (Gambar Facebook)
SANDAKAN:
Pemandu bas mini di Sandakan dikehendaki menjalani saringan Covid-19 di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini esok.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Chin Kim Hiung berkata, pejabat LPKP Sandakan mengeluarkan arahan itu atas permintaan Pejabat Kesihatan Sandakan hari ini.

“Semua pengendali bas mini dikehendaki menjalani ujian swab Covid-19 dilaksanakan kakitangan Pejabat Kesihatan Sandakan bermula 9 pagi esok.

Mereka dinasihatkan mengambil langkah yang diperlukan bagi mengelak daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Polis 1967 serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pengerusi LPKP Sabah Chin Kim Hiung.

Chin berkata, LPKP Sandakan juga akan membantu pemandu bas mini bagi mendapatkan Kod Respon Pantas MySejahtera untuk mereka memantau penumpang mereka, selain menambah bahawa bantuan sama akan dihulurkan kepada pemandu teksi dan pengendali bas sekolah.

“Ada lagi pemandu yang belum mendaftar untuk Kod Respon Pantas, sama ada mereka tidak nampak keperluannya atau mereka tidak tahu untuk membuatnya. Pejabat LPKP Sandakan akan membantu mereka dalam hal ini,” kata beliau.

Chin mengingatkan semua penumpang, pemandu dan pekerja sektor pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-haling tentang keperluan memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan sebelum dan selepas menaiki kenderaan pengangkutan awam, mengamalkan penjarakan fizikal dan mengurangkan kapasiti penumpang yang dibenarkan kepada 50%,

Sementara itu, penumpang bergejala tidak dibenarkan menaiki kenderaan pengangkutan awam.

Pengendali pengangkutan awam juga diingatkan supaya memastikan kebersihan kenderaan mereka selepas setiap perjalanan dan pada akhir waktu operasi di terminal atau depoh,” kata beliau.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Bas Mini Sandakan Mohd Harun Ramli mengesahkan persatuan menerima arahan berkenaan dan berkata, lebih daripada 300 pemandu bas akan terlibat dalam saringan esok.

Beliau berkata pemandu bas, termasuk ahli jawatankuasa bagi setiap laluan bas di Sandakan sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.