
“Dukacita saya melaporkan bahawa kita telah hilang status bebas daripada Covid-19 meskipun usaha kolektif kita untuk menghalang wabak itu memasuki negara ini,” kata Perdana Menteri Manasseh Sogavare pada Sabtu dalam pengumuman melalui televisyen.
Sogavare menyeru rakyat negara itu, yang mempunyai 600,000 penduduk, supaya bertenang dan berkata, pihak berkuasa telah memulakan proses jejak kontak dan langkah lain.
Beliau juga berkata, tiada keperluan untuk melaksanakan perintah berkurung pada masa ini.
Pelajar tersebut, yang didapati negatif 3 kali semasa di Filipina sebelum menaiki pesawat yang membawa 96 penumpang, didapati positif dalam ujian rutin ke atas ketibaan ke ibu negara Honiara dan kini berada dalam pengasingan diri.
18 pelajar lain yang positif Covid-19 masih menjalani kuarantin di Manila.
Sejak penutupan sempadan Solomon berkuat kuasa Mac, lebih 400 pelajar terkandas di Filipina, yang juga menghadapi impak besar daripada penularan wabak itu.
Dengan tekanan daripada ibu bapa, pegawai Solomon mengatur 3 penerbangan khas untuk membawa pulang rakyat negara tersebut dan kumpulan pertama tiba pada Selasa lepas.
Walaupun mencatat kes positif Covid-19 pertama, Sogavare berkata, kerajaan akan meneruskan usaha membawa pulang baki pelajar yang terkandas.
Hanya negara kepulauan serta wilayah yang kecil dan terpencil seperti Kiribati, Pulau Marshall, Micronesia, Nauru, Palau, Samoa, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu dipercayai masih bebas daripada penularan Covid-19.