Kakitangan positif Covid-19, UniSZA ditutup sementara

Kakitangan positif Covid-19, UniSZA ditutup sementara

Penutupan itu melibatkan semua kampus, iaitu kampus Gong Badak, kampus Perubatan dan kampus Besut selama 3 hari bermula esok.

Universiti Sultan Zainal Abidin ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja nyah kuman secara menyeluruh dilakukan susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja nyah virus secara menyeluruh dilakukan susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Naib Canselornya, Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penutupan itu melibatkan semua kampus, iaitu kampus Gong Badak, kampus Perubatan dan kampus Besut selama 3 hari bermula esok.

“Dalam tempoh penutupan itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan seperti biasa secara dalam talian bagi memastikan keselamatan pelajar dan kakitangan.

“Sebagai langkah kawalan, UniSZA memutuskan supaya semua kakitangan bekerja dari rumah bermula 5 hingga 7 Okt bagi membolehkan aktiviti disinfeksi (dijalankan) secara menyeluruh,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, arahan itu membabitkan semua operasi pentadbiran, kecuali kakitangan dalam perkhidmatan penting seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman, tertakluk kepada kelulusan naib canselor.

Hassan Basri berkata, kakitangan yang positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang yang juga dinaiki seorang individu yang pulang dari Sabah dan individu itu kemudian disahkan positif virus berbahaya tersebut.

Susulan kes itu juga, seramai 14 kakitangan UniSZA yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit tersebut diletak di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan.

Warga UniSZA lain yang mempunyai kontak dengan kakitangan yang dikuarantin juga diarah menjalani kuarantin kendiri selama 2 minggu bermula 2 Okt bagi mengelak penularan dalam kampus.

“Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu, UniSZA mengambil langkah menangguhkan semua program bersemuka sehingga keadaan kembali reda.

“UniSZA juga menggerakkan pasukan kaunseling terlatih dan unit kebajikan yang aktif membantu kakitangan serta keluarga yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 584 pelajar yang berada di kampus dan pihaknya memberi jaminan akan memastikan segala keperluan serta kebajikan mereka terpelihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.