Institusi pendidikan di Sabah berjalan seperti biasa, kata KPM

Institusi pendidikan di Sabah berjalan seperti biasa, kata KPM

Surat kebenaran khas akan diberikan kepada guru, kakitangan dan pelajar yang tinggal di luar daerah lokasi sekolah bagi membolehkan mereka merentas daerah.

Semua institusi pendidikan di bawah KPM yang berada di luar kawasan PKPDB di Sabah akan beroperasi seperti biasa bagi tempoh 3 hingga 16 Oktober ini.
KUALA LUMPUR:
Semua pejabat dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh Sabah kecuali bagi kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) akan beroperasi seperti biasa bagi tempoh 3 hingga 16 Okt ini.

Dalam kenyataan hari ini KPM berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran khas bagi membolehkan semua pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas merentas sempadan daerah untuk hadir bertugas supaya operasi institusi tidak terjejas.

“Bagi tujuan ini, ketua jabatan akan mengeluarkan surat arahan hadir bertugas kepada pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas.

“Surat kebenaran khas juga akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid yang tinggal di luar daerah sekolah bagi membolehkan murid merentas sempadan daerah untuk hadir ke sekolah.”

Bagaimanapun, menurut KPM operasi institusi pendidikan di daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna tertakluk kepada PKPDB secara pentadbiran yang bermula pada 29 Sept hingga 12 Okt.

Sebanyak 209 sekolah kerajaan dan swasta di bawah KPM di daerah terlibat ditutup berikutan pelaksanaan PKPDB.

“KPM akan terus komited untuk memastikan semua murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan selamat sepanjang tempoh perintah kawalan rentas daerah ini.

“Sekiranya murid yang tinggal di luar daerah tidak boleh hadir ke sekolah, guru akan menyediakan akses pembelajaran kepada murid melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah atau ‘home-based learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid,” menurut kenyataan itu.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun menerusi portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Pada Khamis, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan melaksanakan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 Okt hingga 16 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.