
Selaras dengan itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya (UM) Abdul Aziz Abdul Raman berkata, universiti itu kini melaksanakan pendaftaran pelajar secara dalam talian, sementara pendaftaran secara bersemuka dilaksanakan pada suatu tarikh lain.
“Bagi pelajar baru yang sudah dalam perjalanan ke kampus, mereka dibenarkan untuk mendaftar di kolej kediaman ataupun boleh menangguhkan perjalanan dan kembali semula ke kampus pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Bagi pelajar yang berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus. Universiti akan terus memantau perkembangan pandemic
Covid-19 serta arahan terkini daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata, pelajar yang memerlukan maklumat lanjut boleh berhubung dengan bahagian hal ehwal pelajar di talian 0379673216.
Hari ini, KPT mencadangkan semua IPT supaya menangguhkan pendaftaran bersemuka pelajar baru dan lama yang akan ke kampus kerana peningkatan kes Covid-19.
KPT menyarankan semua urusan pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga akhir bulan ini atau sehingga pengumuman baru mengenainya dibuat.
Sementara itu, Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan proses pendaftaran secara pandu lalu bagi pelajar baru yang hanya mengambil masa 3 minit.
Ia merangkumi semua proses terlibat, termasuk saringan kesihatan, MyDaftar melalui imbasan kod QR hinggalah ke urusan akhir menurunkan barang di kolej kediaman.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Aldrin Abdullah berkata, university itu turut mengambil langkah drastik mengubah pelan asal untuk semua pelajar baru mendaftar secara bersemuka kepada pendaftaran dalam talian berkuat kuasa semalam.
Menurutnya, pihak universiti sebelum ini sudah mengeluarkan hebahan yang menyarankan semua pelajar baru dan senior mendaftar secara dalam talian dan menangguhkan perjalanan ke USM.
“Bagaimanapun pelajar baru yang sudah dalam perjalanan ke kampus dibenarkan mendaftar dengan diberikan 3 pilihan.
“Pelajar dibenarkan mendaftar dan terus mengikut waris pulang ke rumah; mendaftar, meletakkan barangan di asrama dan pulang; dan terakhir, mendaftar dan terus tinggal di asrama,” katanya.