Trend peningkatan jangkitan Covid-19 membimbangkan, kata Noor Hisham

Trend peningkatan jangkitan Covid-19 membimbangkan, kata Noor Hisham

Daripada 287 kes baru yang dicatatkan hari ini, 128 adalah daripada kluster Tembok yang membabitkan sebuah penjara di Kedah.

KKM berkata, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak kebelakangan ini, Malaysia kini berada di peringkat awal gelombang ketiga wabak tersebut.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, trend peningkatan kes Covid19 di negara ini sejak beberapa hari lalu membimbangkan dan selari dengan pertambahan jumlah kes dan kematian akibat wabak itu di seluruh dunia.

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes di dunia pada masa kini sudah mencecah 34.2 juta dan jumlah jangkitan harian menunjukkan kenaikan sekitar 309,000 berbanding 302,000 sebelum ini.

“Trend peningkatan inilah yang KKM khuatiri dan peringatkan hampir setiap hari kepada semua pihak.

“Daripada 287 kes baru yang dicatatkan di Malaysia hari ini, 128 adalah daripada kluster Tembok yang membabitkan sebuah penjara di Kedah.

“Daripada baki 159 kes pula, 113 kes dikesan di Sabah membabitkan kluster sedia ada di 4 daerah yang kini menjalani perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB).

“Diharapkan langkah menjalankan PKPDB dan pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuat kuasa mulai jam 12:01 malam ini sehingga 16 Oktober akan dapat mengawal dan mengurangkan jumlah kes di negeri itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, terdapat 20 kes baru yang dicatatkan hari merupakan pengunjung dengan sejarah perjalanan ke negeri Sabah.

“Ini susulan aktiviti saringan ke atas semua pengunjung yang baru tiba dari Sabah di semua pintu masuk (domestik dan antarabangsa) bermula 27 Sept sehingga 10 Oktober 2020.

“Mereka yang didapati negatif setelah menjalani ujian digalakkan untuk meneruskan tempoh kuarantin sehingga 14 hari.

“Meskipun kita sememangnya bersiap siaga, namun kesemua Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negara diberi peringatan untuk menghadapi sebarang kebarangkalian kenaikan kes mendadak di lokaliti mereka dan melipat gandakan usaha untuk mengesan, menguji, mengasingkan dan merawat sebarang kes.

“Seperti sebelum ini, KKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Namun begitu, KKM dan agensi pihak berwajib tidak mampu melawan Covid-19 secara bersendirian.

“Malah tanggungjawab lebih besar terletak pada bahu setiap individu dalam masyarakat, tidak kira pangkat, latar belakang dan status.

“Elakkan daripada salah menyalahi antara satu sama lain. Tanggungjawab sosial ini perlu dipikul bersama agar kita dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19 di dalam negara kita.

“Kita telah harunginya bersama sebelum ini dengan menjaga diri kita, keluarga kita, komuniti kita dan negara kita,”katanya.

Dalam perkembangan sama Noor Hisham berkata, peningkatan mendadak kes baru kebelakangan ini menjadikan Malaysia berada pada peringkat awal gelombang ketiga wabak Covid-19.

“Melihat gelombang sekarang ini, (Malaysia) berada di peringkat permulaan gelombang ketiga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.