Bimbang Covid-19, bapa mahu saman universiti jika buat peperiksaan bersemuka

Bimbang Covid-19, bapa mahu saman universiti jika buat peperiksaan bersemuka

Kebimbangan mengenai peningkatan kes baru Covid-19 dan masalah kewangan antara isu yang dibangkitkan seorang bapa.

Seorang bapa berkata, permintaan berulang kalinya supaya universiti menangguhkan peperiksaan atau dibuat secara dalam talian tidak dilayan. (Gambar AP)
GEORGE TOWN:
Seorang bapa hari ini berkata beliau merancang untuk menyaman pihak pengurusan sebuah universiti awam di Pahang sekiranya ia bertegas mahu pelajar menduduki peperiksaan akhir di kampus.

Katanya, kini jelas berlaku peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Wilson Moorthy, 54, yang anak perempuannya merupakan pelajar ijazah sains komputer di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pekan, berkata, semua pelajar kini belajar di luar kampus sejak perintah kawalan berkuat kuasa Mac lalu dan kelas dijalankan secara dalam talian.

Katanya, walaupun pihak universiti telah berulang kali digesa supaya menangguhkan peperiksaan atau menjalankannya secara dalam talian, namun ia tidak dilayan.

Wilson berkata, selepas berulang kali menghubungi pejabat canselor, semalam beliau diberitahu bahawa pengecualian hanya akan diberikan sekiranya terdapat surat doktor yang mengesahkan seseorang pelajar itu positif Covid-19.

“Ketika ini Kementerian Kesihatan minta kita duduk di rumah untuk kekal selamat, namun pelajar pula diminta mengambil ujian di kampus.

Kita mendengar kisah-kisah menakutkan bagaimana pelajar yang pada mulanya negatif (Covid-19), tetapi positif kemudiannya.

“Macam mana pelajar boleh duduki peperiksaan semasa mereka sedang panik, takut dengan Covid-19? Bolehkah anda bayangkan apakah yang difikirkan mereka apabila dipaksa membayar sewa asrama, tiket penerbangan dan lain-lain hanya untuk ambil peperiksaan dan kembali ke kampung halaman selepas itu?

“Saya tak mahu anak perempuan saya di Pulau Pinang pergi ke Pahang, lalu dijangkiti dan kembali semula untuk sebarkan virus lebih luas.

Kalau UMP tetap berkeras, saya rancang untuk ambil tindakan undang-undang,” kata bapa tunggal kepada 2 orang anak itu kepada FMT.

Difahamkan, kira-kira 800 pelajar di fakulti pengkomputeran yang akan menduduki ujian akhir semester Ahad ini merupakan sebahagian daripada 3,000 yang lain yang sedang menduduki peperiksaan.

Peperiksaan akhir semester UMP akan diadakan pada 5 hingga 16 Oktober, dengan sesi lain bermula 19 hingga 30 Oktober, menurut surat edaran. Pelajar perlu pulang ke rumah mereka selepas mengikuti peperiksaan.

Menurut notis bertarikh 28 September itu, mereka yang datang dari Sabah bagaimanapun tidak perlu hadir ujian.

Selain mereka yang kini berada di zon kuning dan merah di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) akan menjalani ujian berasingan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Rundingan dengan pengurusan universiti gagal

Dalam pada itu, majlis perwakilan pelajar menggesa pihak pengurusan universiti supaya mengadakan peperiksaan secara dalam talian dan projek akhir diselesaikan di rumah.

“Namun cadangan itu ditolak,” kata presiden majlis itu, Mohd Fitri Zulkaffli dalam kenyataan.

Katanya, selain kebimbangan Covid-19, kos perjalanan pulang ke kampus untuk mengambil peperiksaan turut menjadi isu.

Katanya, sewa asrama dan kos sara hidup juga membimbangkan kerana 70% pelajar adalah daripada kumpulan B40.

Fitri juga berkata, pelajar, yang 50% daripada mereka bergantung pada pinjaman kerajaan di bawah PTPTN, masih belum diberi elaun sara hidup dan yuran kursus kerana mereka belum menduduki ujian akhir.

Katanya, 19 universiti lain selesai mengadakan peperiksaan akhir mereka lebih awal dan PTPTN telah membuat bayaran.

Fitri berkata, majlis pelajar mengemukakan rayuan kepada UMP pada 24 Jun, termasuk tuntutan jaminan kawalan risiko Covid-19 sekiranya pelajar kembali untuk mengambil ujian bersemuka.

Namun katanya, UMP menolak cadangan mereka, dengan pihak pengurusan menimbulkan isu integriti sekiranya melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan secara dalam talian.

Fitri berkata, isu integriti tidak perlu menjadi masalah kerana 2 universiti awam lain berjaya melaksanakan peperiksaan dalam talian dengan kadar aktiviti plagiat yang rendah.

“Peperiksaan bersemuka terus menjadi punca utama masalah yang tidak berkesudahan bagi kami.”

FMT telah menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi dan UMP untuk komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.