
Kerja menaik taraf infrastruktur di kawasan berkenaan antaranya memperbaiki dan melebarkan jalan mengikut konsep grid.
Menterinya Annuar Musa berkata, kementerian akan memastikan pembangunan jalan raya dan infrastruktur di kawasan itu hanya melibatkan pengambilalihan tanah yang minimum serta mendapat persetujuan daripada pemilik tanah.
“Ada jalan tertentu perlu ditutup dan jalan baru terpaksa dibuat supaya jalan yang tidak begitu teratur keadaannya dapat disusun semula,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, pembangunan semula Kampung Baru akan dibahagikan kepada presint atau parcel membabitkan pecahan bagi setiap 1 hektar, sekali gus membolehkan pelaksanaannya dibahagikan kepada grid tertentu atau blok lebih kecil.
Katanya, cadangan kerajaan terdahulu membabitkan pengambilan tanah daripada lebih 5,300 pemilik pada harga RM1,000 sekaki persegi, iaitu RM850 tunai dan RM150 saham Syarikat Tujuan Khas (SPV), tidak dapat diteruskan kerana kekangan kewangan, selain hanya 61% penduduk sahaja bersetuju dengan tawaran itu.
Dalam pada itu Annuar berkata, KWP bersedia mendengar cadangan jalan lain untuk dinamakan semula sebagai Jalan Palestin selepas pemilihan Jalan Raja Laut 1 mendapat bantahan pelbagai pihak.
Mengenai isu pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin, beliau meminta perkara itu diteliti semula supaya memilih jalan lain tanpa mengubah nama Jalan Raja Laut 1 itu.
Beliau menjelaskan cadangan menamakan jalan di ibu negara sebagai Jalan Palestin dibuat pada tahun 2019 oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu susulan seminar mengenai Al-Quds, yang kemudian disyorkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan KWP.
Dalam perkembangan lain, Annuar mengesahkan permohonan untuk kebenaran merancang sebidang tanah di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur bagi pembinaan Istana Johor dihantar Jabatan Perancang Bandar, DBKL.
Mengulas surat terbuka yang tular di media sosial mendakwa kuarters kerajaan di Bukit Persekutuan akan dirobohkan bagi tujuan pembinaan Istana Johor, Annuar berkata, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sememangnya memiliki sebidang tanah di Bukit Persekutuan dan berhasrat membina Istana Johor di tanah berkenaan.