82 individu ditahan ingkar PKPP, 6 direman

82 individu ditahan ingkar PKPP, 6 direman

Manakala dalam Ops Benteng agensi penguatkuasa memberkas 29 PATI di seluruh negara.

Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 82 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 75 individu dikompaun, 6 direman dan seorang lagi dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk penjarakan fizikal (46), tidak memakai pelitup muka (23), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (12), serta aktiviti dalam pub dan kelab malam (1),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai Operasi Benteng, Ismail berkata agensi penguatkuasa memberkas 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 penyeludup serta merampas sebuah bot dan 4 kenderaan darat.

“Sebanyak 81 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan polis (70 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (1 SJR).

“Sejak 1 Mei hingga 28 September, seramai 7,389 individu ditahan yang melibatkan 750 tekong, 6,344 PATI dan 295 penyeludup.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.