PKPDB di Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna tengah malam ini

PKPDB di Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna tengah malam ini

Pelaksanaan selama 14 hari itu melibatkan seramai 962,661 penduduk.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata susulan peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah kerajaan memutuskan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) di 4 daerah negeri itu.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) akan dilaksanakan di 4 daerah sekitar Sabah susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPDB secara pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, hingga 12 Oktober depan melibatkan seramai 962,661 penduduk.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan Covid-19 di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September.

Daripada jumlah itu, Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

Ismail berkata, dengan pelaksanaan perintah itu semua penduduk tidak dibenakan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke 4 daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan asas di 4 daerah terlibat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPDB, sementara semua laluan keluar masuk PKPDB ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan (RELA), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.