Pegawai USM didakwa terima suapan lebih RM130,000

Pegawai USM didakwa terima suapan lebih RM130,000

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan mengemukakan borang pesanan rasmi untuk pembayaran pembekalan barangan pejabat dan peralatan sukan.

Tertuduh Zurina Abdul Hamid mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM135,445. 09 dari 2013 hingga 2017. 
BUTTERWORTH:
Seorang pembantu pegawai tadbir Universiti Sains Malaysia (USM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 52 pertuduhan menerima bayaran suapan berjumlah RM135,445.90 dari 2013 hingga 2017.

Tertuduh, Zurina Abdul Hamid, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan apabila mengemukakan dokumen DO/Invois daripada TZP Ventures bagi borang pesanan rasmi untuk pembayaran pembekalan barangan keperluan pejabat dan peralatan sukan.

Tertuduh yang mempunyai kepentingan dengan syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Sukan dan Rekreasi USM bagi tempoh 31 Dis 2013 hingga 15 Dis 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya SPRM Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam S Meharaj.

Terdahulu, Azlan menawarkan jaminan RM73,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Meharaj merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan dan suami tertuduh hanya bekerja sebagai kerani bank untuk menanggung 4 orang anak.

Meharaj berkata, tertuduh juga berdepan kemungkinan digantung kerja kerana kes ini sedang dalam siasatan jawatankuasa tatatertib USM.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Hakim Ahmad Azhari menetapkan 4 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.