Adun GRS adakan pertemuan sebelum ke Istana

Adun GRS adakan pertemuan sebelum ke Istana

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, ketua parti dalam GRS akan menghadap Yang di-Pertua Negeri hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan pertemuan pertama di sini hari ini selepas keputusan pilihan raya negeri semalam memihak kepada mereka.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa berkata dalam pertemuan itu ketua-ketua parti dalam GRS juga hadir.

“Ketua-ketua parti Umno, PPBM dan PBS akan mengadap Yang di-Pertua Negeri hari ini juga, Insyaallah,” katanya di Twitter.

Annuar berkata, permuafakatan antara pimpinan Umno, PPBM, PAS dan lain-lain akan diteruskan atas wadah penyatuan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Antara pemimpin hadir pada pertemuan itu termasuk Pengerusi PN dan PPBM Sabah, Hajiji Noor, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PPBM Sabah, Masidi Manjun, Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

“Sabah turut menunjuk jalan ke arah Malaysia yang lebih baik dan Sabah yang terus maju. Terima kasih Sabah,” katanya.

Semalam, GRS berkata, ia akan mengumumkan calon ketua menteri mereka hari ini sebelum upacara angkat sumpah di Istana negeri.

Hajiji berkata, pengumuman tidak dibuat malam tadi kerana mahu ia dilakukan secara bersama-sama dengan semua wakil rakyat gabungan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GRS meraih majoriti mudah pada pilihan raya negeri (PRN) di Sabah ke-16 semalam dengan memenangi 38 daripada keseluruhan 73 kerusi.

GRS merangkumi Perikatan Nasional yang memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).

Dalam pada itu, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan (29 kerusi), PKR (2 kerusi) dan Upko (1 kerusi) berjaya menawan 32 kerusi.

Calon Bebas pula menang di 3 kerusi.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.