Wakil komuniti baru bukan ahli PBT, kata Zuraida

Wakil komuniti baru bukan ahli PBT, kata Zuraida

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, PeKT yang terdiri daripada lantikan politik dan NGO melapor terus kepada kementeriannya, bukannya PBT.

Zuraida Kamaruddin bersama Adun Telok Bahang, Zolkifly Md Lazim pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.
GEORGE TOWN:
Inisiatif Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) oleh kerajaan persekutuan tidak bertindih kuasa atau mengambil peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti didakwa kumpulan tertentu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, penggerak itu (dikenali sebagai PeKT) hanya akan menyampaikan maklumat inisiatif, dasar terkini kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar. Wakil itu ditugaskan kepada kawasan pentadbiran PBT dan mereka tidak akan mengganggu pentadbiran tempatan.

Katanya, PeKT yang terdiri daripada lantikan politik dan NGO melapor terus kepada kementeriannya, bukannya PBT.

“Saya rasa kumpulan itu (yang menentang PeKT) tidak memahami perkara ini. Mereka tidak sepatutnya membantah, saya rasa mereka tak faham,” katanya merujuk Dekat, sebuah kumpulan berkepentingan pentadbiran tempatan.

Semalam, Dekat berkata, pelantikan PeKT melampaui bidang kuasa Zuraida dan mempersoalkan sekiranya tindakan melantik wakil itu ialah penyalahgunaan kuasa untuk manfaat politik.

Menjelaskan hierarki penggerak, Zuraida berkata, setiap pasukan PeKT akan mempunyai 15 ahli, di mana setiap pasukan akan meliputi 24 zon PBT.

Katanya, setiap pasukan diberikan peruntukan tahunan RM10,000, dengan RM2,000 diperuntukkan kepada ketua PeKT untuk perbelanjaan pengurusan setiap bulan.

Beliau berkata, pasukan itu dibenarkan memohon sumbangan bagi aktiviti bersama masyarakat.

Katanya, negeri pertama yang mempunyai PeKT ialah Melaka, diikuti Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, dengan jumlah penggerak sekarang ialah 550 ahli.

Zuraida berkata, penggerak akan melaksanakan kerja komuniti seperti usaha kitar semula “sampah untuk tunai”, mengadakan ceramah pencegahan jenayah dan kebakaran serta bantuan kepada orang miskin.

Terdahulu, di Bayan Lepas, beliau menyampaikan tauliah kepada 157 ahli PeKT yang dilantik di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.