Pesakit strok berkeras mahu mengundi walau panas terik, pandemik

Pesakit strok berkeras mahu mengundi walau panas terik, pandemik

Lelaki berusia 78 tahun ini antara ratusan pengundi DUN Moyog yang berada di SK Sugud untuk mengundi.

Jokumil Hoinsung (2 dari kanan) dibantu isterinya, Lidwina Loidin Ziumin (kanan) dan saudara, Edward Giniol (2 dari kiri) selepas membuang undi hari ini.
PENAMPANG:
Pesakit strok, Jokumil Hoinsung, berkeras meredah panas terik dan ancaman pandemik untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi walaupun pergerakan dan pendengarannya terbatas.

Lelaki berusia 78 tahun ini antara ratusan pengundi DUN Moyog yang berada di SK Sugud di sini untuk mengundi.

Anaknya, Jiffrey Hoinsung, 51, berkata, bapanya diserang strok 5 tahun lalu dan sejak itu beliau perlu dibantu.

“Tapi kuat betul semangatnya dan kami sekeluarga, termasuk mak dan saudara bantu supaya dia boleh mengundi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jeffrey berkata keluarganya, dari Kampung Penapah Kondis, mahu kerajaan yang tiada pelompat parti.

“Tak mahu kerajaan yang ‘melompat’…tak bagus untuk rakyat,” katanya.

Walaupun tidak menyebut sebarang parti atau nama, beliau mungkin merujuk kepada wakil rakyat yang membantu Warisan memperoleh kelebihan dan mengambil alih negeri itu selepas pilihan raya umum 2018, serta Adun yang memutuskan untuk meninggalkan kerajaan pimpinan Warisan dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman pada Julai.

Moyog, yang terletak di kawasan Parlimen Penampang, menyaksikan pertembungan 7 penjuru, antaranya melibatkan, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, Joe Suleiman (Perikatan Nasional), John Chryso Masabal (PBS) dan William Sampil (PCS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.