89 pesakit sembuh atasi 82 kes baru Covid-19

89 pesakit sembuh atasi 82 kes baru Covid-19

Ia terdiri daripada 79 penularan tempatan dan 3 kes import.

PETALING JAYA:
Seramai 89 pesakit sembuh berbanding 82 kes baru yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 79 kes penularan tempatan dan 3 kes import dari Yaman, Bangladesh serta Filipina membabitkan 2 warganegara dan seorang warga asing.

Daripada 79 kes jangkitan tempatan itu, 53 kes membabitkan warganegara dan 26 lagi warga asing.

Sebanyak 64 daripada 79 kes itu dicatatkan di Sabah, dengan 33 kes daripada kluster Benteng LD dan 25 lagi daripada kluster Bangau-bangau.

Baki 6 kes positif di Sabah termasuk 3 kes saringan bergejala dan masing-masing satu kes saringan petugas kesihatan di lapangan terbang, kes Influenza Like Illness (ILI) di klinik kesihatan Tawau serta saringan kemasukan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Sebanyak 15 lagi kes penularan tempatan dicatatkan di Semenanjung, iaitu Negeri Sembilan (3), Kuala Lumpur (3), Selangor (2), Terengganu (2) dan masing-masing satu kes di Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan.

Sebanyak 11 daripada 15 kes itu membabitkan individu pulang dari Sabah, 2 kes saringan petugas kesihatan dan masing-masing satu kes bagi saringan ke luar negara dan saringan tahanan.

Hisham berkata, kluster Bangau-bangau di Sabah kini mencatatkan 159 kes positif membabitkan 114 warganegara dan 45 warga Filipina.

Katanya, 351 individu disaring dalam kluster ini setakat tengah hari tadi dengan 37 orang negatif dan 155 lagi menunggu keputusan.

Beliau berkata, jumlah kes positif kluster Benteng LD meningkat kepada 776 orang, selepas 33 kes baru dilaporkan hari ini.

Seramai 439 orang ialah warganegara dan 214 warga Filipina, Indonesia (122) dan Timor Leste (1).

Seramai 10,775 individu sudah disaring dalam kluster ini, dengan 1,450 orang di Tawau dan 509 orang di Lahad Datu masih menunggu keputusan mereka.

Terdapat 851 kes aktif di seluruh negara setakat ini. Lapan pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi, dengan 4 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka korban kekal 133 orang.

Seramai 9,785 pesakit sembuh daripada 10,769 kes Covid-19 secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.