Sokongan BN beralih ke PN, menurut tinjauan NGO

Sokongan BN beralih ke PN, menurut tinjauan NGO

Tinjauan Persatuan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah mendapati PN meraih 10% bahagian popular pengundi dengan BN kehilangan sokongan dalam margin sama.

Arnold Puyok berkata, Parti Cinta Sabah semakin popular dan boleh menjadi ‘spoiler’ atau ‘kingmaker’ dalam PRN esok.
KOTA KINABALU:
Satu tinjauan yang dijalankan Persatuan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS) mendapati sokongan untuk Barisan Nasional (BN) dalam kalangan orang Sabah beralih kepada Perikatan Nasional (PN)

Pengerusi SEEDS, Arnold Puyok berkata, PN mendapat manfaat daripada tempoh berkempen ini walaupun di pedalaman Sabah, dengan gabungan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin itu semakin diterima pengundi di kerusi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum 2018.

Katanya, PN mendapat 10% bahagian popular pengundi dengan BN kehilangan sokongan dalam margin sama.

“Di kerusi BN menang dengan majoriti, BN kehilangan kira-kira 3% hingga 7% bahagian popular dan PN meraih kira-kira 3% hingga 10%.

“Manfaat ini diraih PN melalui bahagian BN dan Warisan Plus. Di kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis, BN kehilangan bahagian kecenderungan pengundinya lebih 10%, di mana PN memperoleh 13%.”

Arnold Puyok.

Puyok berkata, satu lagi penemuan menarik ialah peningkatan sokongan untuk parti Sabah tempatan di luar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

“Kemungkinannya ialah mereka boleh menjadi ‘spoiler’ atau ‘kingmaker’ – Parti Cinta Sabah semakin popular – di semua kerusi. Jadi, ketampakan mereka semakin meningkat.”

Bagaimanapun, Puyok tidak nampak pemenang ketara antara GRS dan Warisan Plus kerana sukar untuk meramalkan siapa yang akan memenangi PRN Sabah.

Walaupun isu lompat parti dan pendatang asing tanpa izin menjadi topik hangat ketika berkempen, ia bukan antara 3 perkara teratas yang akan menjejaskan pilihan pengundi.

“Tiga isu teratas yang mungkin mempengaruhi keputusan pengundi ialah pembangunan infrastruktur, prestasi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.”

Katanya, kira-kira separuh daripada responden tinjauan itu berkata, mereka akan memilih parti berbanding calon, walaupun sentimen ini sebaliknya dalam kalangan belia.

Ini ialah tinjauan ke-2 NGO itu, yang dijalankan dari 18 hingga 24 Sept lalu membabitkan 1,138 responden, selepas tinjauan pertama akhir bulan lalu.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.