Shafie tak buat apa-apa untuk Sabah sebagai menteri persekutuan, kata Jeffrey

Shafie tak buat apa-apa untuk Sabah sebagai menteri persekutuan, kata Jeffrey

Presiden STAR itu berkata, Shafie Apdal mempunyai peruntukan keseluruhan RM34.6 bilion dan boleh menyelesaikan semua keperluan asas Sabah dengan 1/3 peruntukan itu.

Jeffrey Kitingan berkata, Shafie Apdal hanya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu yang diketuai Musa Aman untuk menutup kelemahan Warisan mentadbir Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Presiden STAR, Jeffrey Kitingan berkata Shafie Apdal yang pernah menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, hanya boleh menyalahkan dirinya atas kekurangan infrastruktur asas, utiliti serta kemudahan awam di kawasan luar bandar Sabah.

Beliau berkata, peruntukan keseluruhan untuk pembangunan luar bandar buat kementerian yang diterajui Shafie selama 6 tahun sejak 2009 berjumlah RM34.6 bilion.

Katanya, jika presiden Warisan itu menerapkan formula perkongsian setara, yang asyik dikatakannya sekarang, beliau sepatutnya memperuntukkan 1/3 daripada jumlah itu atau RM11.5 bilion untuk Sabah.

“Jika beliau berbuat demikian, kebanyakan masalah infrastruktur, utiliti dan kemudahan awam, seperti jalan luar bandar, bekalan elektrik, air, sekolah dan pusat komuniti sudah selesai sekarang.

“Beliau perlu bertanggungjawab atas kegagalannya membangunkan kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak. Apa yang dilakukannya ketika beliau menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang mendakwa Sabah terkenal dengan kadar kemiskinan tertinggi di negara ini, berkata Shafie tidak membuat apa-apa untuk memperbaiki infrastruktu luar bandar di Sabah sepanjang 25 tahun dalam kerajaan persekutuan.

Jeffrey berkata, ketua menteri sementara itu hanya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu yang diketuai Musa Aman, untuk menutup kelemahan Warisan mentadbir Sabah.

Katanya, Sabah mencatat kadar pertumbuhan KDNK terendah pada 0.5%, selepas Warisan menerajui negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berbanding kadar tertinggi negara 8.2% pada 2017.

“Di sebalik kegagalannya, Shafie juga kerap menyalahkan pandemik Covid-19 yang hanya berlaku mulai Mac 2020, bukannya pada 2018 atau 2019.

“Sayangnya ada orang, termasuk pemimpin dan individu mempunyai jawatan berkuasa, terpedaya dengan retorik dan jenama politiknya.

“Kini, beliau cuba memperdaya orang Sabah menyokong Warisan Plusnya untuk terus menjadi kerajaan negeri selama 5 tahun lagi.”

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.