
Presiden Warisan, Shafie Apdal, dan Ketua Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin, merupakan pemimpin paling sibuk memujuk dan merayu sokongan untuk gabungan masing-masing sepanjang 14 hari lalu, membantu calon masing-masing dari pantai barat ke pedalaman hingga ke pantai timur.
Bung beritahu FMT beliau mahu bersama penyokong sendiri di Kinabatangan pada hari terakhir kempen, di mana beliau akan bertanding di DUN Lamag.
Beliau merasakan sokongan kepada BN dan sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) “amat mengalakkan” di sepanjang jelajahnya.
“Angin perubahan semakin kuat dan rakyat mula merasakan Warisan bukanlah kerajaan yang boleh melonjakkan Sabah dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, kebajikan rakyat, dan pembangunan,” katanya.
Shafie, yang memikul Warisan Plus di pundaknya sejak permulaan kempen juga meyakini peluang gabungannya.
Berdepan dugaan terbesar Warisan Plus sebagai suatu gabungan dalam pilihan raya penting, Shafie semalam beritahu pemberita beliau tidak mahu kedengaran seperti terlampau yakin tetapi “maklum balas dari lapangan” beri petunjuk Warisan Plus boleh menang.
Shafie akan bersama penyokongnya di Semporna pada hari terakhir kempen. Beliau mempertahankan DUN Senallang daripada 4 pencabar termasuk anak saudaranya, Norazman Utoh Nain, dari Perikatan Nasional.
Begitu juga halnya dengan Presiden Parti Cinta Sabah, Anifah Aman, yang berhempas pulas untuk calon-calonnya di semua 73 kerusi.
Anifah, yang bertanding di Bongawan, beritahu FMT bahawa PCS sepanjang kempen dapat respons yang baik daripada rakyat Sabah yang percaya pada partinya dan apa yang ditawarkan.
“Tidak seperti pilihan raya sebelum ini, kali ini ia diadakan ketika pandemik Covid-19 melanda tetapi masih dapat sokongan. Memandangkan parti ini agak baharu, ia suatu pencapaian bukan sahaja bagi kami tetapi juga rakyat Sabah yang mahukan perubahan,” katanya.
Ketua PN Sabah, Hajiji Noor, berkempen tidak terlalu jauh daripada halaman sendiri di Tuaran tetapi optimis akan peluang PN dan GRS dalam pilihan raya pertama kedua-dua gabungan itu di Sabah.
“Semakin kita menghampiri hari mengundi, semakin kita yakin rakyat mahukan perubahan kerajaan…kami akan menang dengan selesa,” katanya kepada FMT. Hajiji mempertahankan DUN Sulaman dalam pertandingan 3 penjuru.
Bekas ketua menteri Chong Kah Kiat, dari LDP, berkunjung ke Penampang hari ini untuk menutup perjalanan kempen partinya, sambil beramah mesra dengan orang ramai di Tamu Donggongon.
Beliau berkongsi harapannya dengan pemberita, iaitu pengundi akan beri mandat kepada LDP untuk membentuk kerajaan baharu.
“Parti kami bersih dan sudah 31 tahun bertapak di negeri ini. Hampir semua calon kami muda-muda dan paling penting sekali, kami jujur,” katanya.
Lebih 1.08 juta pengundi akan memilih esok di 741 pusat mengundi.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah