Gunung Kinabalu, taman ditutup selepas pendaki positif Covid-19

Gunung Kinabalu, taman ditutup selepas pendaki positif Covid-19

Pusat Covid-19 dibuka di Taman Kinabalu untuk ujian saringan ke atas malim gunung, pendaki awam, staf taman dan syarikat swasta terbabit dalam aktiviti pendakian itu.

Seorang pesakit Covid-19 mendaki Gunung Kinabalu dari 13 hingga 14 Sept lalu. (Gambar Freepik)
KOTA KINABALU:
Gunung Kinabalu dan kawasan Taman Kinabalu ditutup mulai hari ini hingga 8 Okt untuk proses nyah kuman, kata Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jamili Nais.

Beliau berkata, ini berikutan seorang pesakit Covid-19 didapati mendaki Gunung Kinabalu dari 13 hingga 14 Sept lalu dan Kementerian Kesihatan mengeluarkan notis perintah tutup untuk ibu pejabat Taman Kinabalu di Kundasang.

“Pusat Covid-19 dibuka di Taman Kinabalu untuk tujuan operasi pencegahan penularan yang melibatkan ujian saringan Covid-19 ke atas kontak rapat pendaki yang terdiri daripada malim gunung, pendaki awam dan staf taman serta syarikat swasta yang terbabit dalam aktiviti pendakian itu.

“Operasi nyah kuman yang menyeluruh dilaksanakan ke atas kemudahan pelancongan di sepanjang laluan pendakian ke Gunung Kinabalu, termasuk di Stesen Panabalan (base camp) di sepanjang tempoh penutupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan peningkatan kes Covid-19 di pantai timur Sabah, agensi kerajaan negeri Taman-taman Sabah melaksanakan operasi nyah kuman di Taman Bukit Tawau, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan selama 7 hari dari 20 hingga 30 Sept ini.

“Ketiga-tiga taman ini tidak akan dibuka kepada pelawat dan orang awam sepanjang tempoh operasi ini dilaksanakan.

“Bagaimanapun, taman lain yang bebas daripada gejala penularan Covid-19, iaitu Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Penyu, Taman Banjaran Crocker, Taman Pulau Tiga dan Taman Tun Mustapha masih dibuka kepada pelawat awam.”

Katanya, Stesen Mata Air Panas Poring, Substesen Serinsim, Substesen Sayab, Substesen Monggis dan Substesen Nalapak masih bebas daripada Covid-19 serta dibuka kepada pelawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.