
Tetapi semua ini berubah apabila beliau menghidap demam 2 hari selepas mendarat di Malaysia.
Susulan itu, kesemua ototnya mula sakit. Belakangnya juga sakit dan akhirnya beliau hilang deria rasa dan bau.
“Saya ingat ia demam biasa kerana apabila saya melancong, saya kerap jatuh sakit. Tetapi kali ini ia berbeza kerana selepas beberapa lama saya hilang deria bau dan rasa.
“Beberapa rakan memberitahu saya bahawa ia merupakan salah satu simptom yang dialami kebanyakan orang yang pulang daripada UK.
“Pada masa itu saya memutuskan untuk mengambil ujian saringan Covid-19,” katanya kepada FMT.
Malangnya, ujian itu positif.
“Mereka menghantar saya ke Hospital Sungai Buloh. Saya sepatutnya menaiki ambulans, tetapi emak terus menghantar saya apabila kami mendapat keputusan ujian daripada klinik swasta.”
Dimasukkan ke hospital semasa waktu puncak pandemik pada Mac, Ilyana masih ingat ketidakpastian yang dialami semasa tempoh pengasingannya selama 6 hari di hospital.
“Saya berasa cemas, mungkin 90% daripada masa itu kerana saya tidak pasti apakah yang akan berlaku kepada saya. Saya tidak dibenarkan menerima pelawat – kami dikurung dalam satu ruang wad dan terdapat batasan antara kami dengan dunia luar.
“Kami tidak boleh meninggalkan atau keluar dari garisan merah itu. Kami betul-betul terbatas di wad terpencil itu sepanjang masa.”
Perkara yang menakutkannya adalah keadaan rakan pesakit di hospital yang bertambah teruk dari hari ke hari.

Salah seorang daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan melalui ventilator dan pesakit di depannya mengalami batuk teruk.
Menurut Ilyana bunyi batuknya cukup kuat untuk didengar di seluruh hospital. Pesakit lain diberikan ubat yang semakn bertambah setiap hari.
“Saya menunggu kemunculan simptom. Setiap kali saya berasa sesuatu seolah-olah muncul, saya berasa takut dan cemas.”
Tanpa tarikh pelepasan yang jelas, Ilyana cuba memperbaiki situasinya dengan bersenam secara rutin, menanda senarai bacaan dan cuba mengenali rakan sebiliknya.
“Ada masanya kami bercakap tentang kes Covid-19 dan betapa bilangannya semakin banyak, tetapi kami juga bercakap tentang pengalaman kami, destinasi yang kami pernah pergi dan tentang pekerjaan kami.”
Turut termasuk dalam rutin barunya ialah pemeriksaan kesihatan sebanyak 4 kali sehari yang melibatkan suhu, tekanan darah dan ujian pernafasan yang dilakukan oleh kakitangan hospital untuk mengenal pasti sama ada simptom semakin bertambah.
Berdasarkan pengalamannya berhubung perkhidmatan yang diberikan di Hospital Sungai Buloh, Ilyana hanya mampu mengucapkan rasa terhutang budi kepada barisan hadapan.
“Mereka luar biasa. Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana sentiasa menjalankan tugas, termasuk yang bekerja pada syif malam.
“Saya tidak dapat melihat senyuman mereka (melalui peralatan pelindungan peribadi), tetapi saya boleh mengecam daripada nada suara bahawa mereka mahu memastikan saya berada dalam keadaan baik.”
Sebagai seorang yang pernah mengalami kesan fizikal dan mental Covid-19, beliau menekankan kepentingan mematuhi norma baru.
“Orang ramai patut sedar bahawa virus yang membunuh itu masih menular di seluruh negara. Kita masih berada dalam pandemik.
“Mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mungkin susah atau menjengkelkan kepada sesetengah golongan, tetapi ia lebih baik berbuat begitu dan kita mesti menerima hakikat perlu patuh kepada norma baru itu. Kita tidak boleh mengabaikannya.”
Ilyana menyeru masyarakat awam, terutamanya generasi muda, lebih berterima kasih kepada barisan hadapan yang bekerja sepanjang masa.
Beliau berkata, pencegahan penularan virus tersebut bergantung pada semua orang.
“Orang tidak berfikir panjang untuk menyedari bahawa virus itu boleh memberi kesan ke atas semua. Kita perlu berfikir tentang orang yang kita sayangi di rumah, iaitu mereka yang dekat dengan kita.”
Dapatkan maklumat lanjut tentang norma baharu semasa pandemik di sini.
