
Penduduk berkata, dengan adanya jambatan itu ia akan memudahkan mereka membina semula rumah selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa kelak.

Mereka sudah menetap di kontena itu kira-kira 2 tahun dan terus menanti berita gembira mengenai pembinaan jambatan berkenaan.
Mangsa terbabit difahamkan akan dipindahkan ke kediaman lain tetapi tidak mengetahui lebih lanjut lokasinya, sama ada dekat atau jauh.
Jika jaraknya jauh mereka bimbang anak-anak yang bersekolah juga akan jauh untuk ke sekolah.

Sepanjang tinggal di penempatan sementara itu, hujan dan cuaca panas antara cabaran ditempuh selain bilik mandi terhad dan persekitaran yang kurang selesa disebabkan keluasan kontena terhad.
Bagaimanapun, mereka bersyukur apabila bekalan air dan elektrik diberikan percuma sekali gus meringankan beban selain kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang prihatin turut menghulurkan bantuan.

Terdapat 114 kontena yang dijadikan penempatan sementara di kawasan berkenaan.
Selepas kebakaran, mangsa pada mulanya ditempatkan di Sekolah Kebangsan Gas selama 4 hari, kemudian dipindahkan ke PPR Taman Batu Sapi sebelum di kuarters sebuah kilang berdekatan kampung itu, dan akhirnya ditempatkan ke kontena berkenaan sehingga kini.
Kolnah Sarina Sailan, 44, berkata dia tinggal bersama 5 anak dan suami yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan.

“Kami sudah tidak tahan tinggal di sini kerana setiap kali hujan, air akan memasuki kontena ini.
“Saya menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) atau lupus dan terpaksa tinggal di sini sejak 2 tahun lepas, bukan tidak bersyukur tetapi kami mahu sebuah kediaman selesa,” katanya.
Katanya, pemaju mukim di kawasan itu baru-baru ini memaklumkan mereka akan dipindahkan tetapi masih belum mendapat maklumat terkini mengenainya.
“Saya harap siapa pun yang menjadi kerajaan selepas ini mampu membawa perubahan dan membantu kami di sini,” katanya.

Seorang lagi mangsa ditemui Yati Titing, 40, tinggal bersama 3 anak dan suaminya yang dulu nelayan namun kini hanya bekerja sendiri.
“Memang kami perit tinggal di sini, namun ini satu-satunya tempat yang boleh kami berteduh. Bantulah kami bina jambatan, jika jambatan ini siap dan kami ada wang, kami akan bina semula rumah secara berperingkat,” katanya.
Yati berharap selepas pilihan raya negeri, tidak kira siapa pun membentuk kerajaan akan membantu mereka.

Sementara itu, seorang aktivis masyarakat di Sandakan Azlani Rayqiezan berharap permintaan mangsa bagi pembinaan jambatan itu dapat disegerakan.
Beliau berkata, pihak berkenaan boleh mengambil contoh seperti di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, yang mana kampung itu juga pernah terbakar.
“Namun, jambatan yang cepat dibina membolehkan mangsa mendirikan semula rumah mereka secara berperingkat,” katanya.