
Sebanyak 74 daripada 97 kes di Sabah itu daripada kluster Bangau-bangau dan 13 lagi daripada kluster Benteng LD.
Lapan kes baru turut dikesan di Kedah, termasuk 7 di kluster Sungai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 858 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara, dengan 3 daripada 4 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, 30 pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan 9,696 kes sembuh daripada 10,687 kes positif setakat ini.
Angka korban kekal 133 orang kerana tiada kematian dicatatkan hari ini.
Beliau berkata, 107 daripada 111 kes baru itu ialah penularan tempatan dan 4 lagi kes import.
Semua 4 kes import itu membabitkan warga asing dari Indonesia, India dan Singapura, manakala jangkitan tempatan pula membabitkan 76 warganegara serta 31 warga asing.
Katanya, kluster Bangau-bangau di Sabah kini mencatatkan 134 kes positif membabitkan 90 warganegara dan 44 warga Filipina.
“Setakat tengah hari ini, 180 individu disaring dalam kluster ini,” katanya sambil menambah 37 orang negatif dan 9 lagi menunggu keputusan.
Kluster Benteng Lahad Datu
Hisham berkata, jumlah kes positif kluster Benteng LD meningkat kepada 743 orang, selepas 13 kes baru dilaporkan dicatatkan hari ini.
Seramai 428 daripada 743 orang ialah warganegara dan baki 202 ialah warga Filipina serta 113 warga Indonesia.
Seramai 10,634 individu sudah disaring dalam kluster ini, dengan 1,342 orang di Tawau dan 509 orang Lahad Datu masih menunggu keputusan mereka.
Kluster Laut
Beliau berkata, 2 kes baru dilaporkan bagi kluster Laut hari ini, menjadikan keseluruhan 24 kes positif yang semuanya membabitkan warga Filipina.
Katanya, 533 orang disaring dalam kluster ini setakat tengah hari tadi dengan 24 kes positif, 353 individu negatif dan 156 orang masih menunggu keputusan.
Kluster Sungai
Hisham berkata, 7 kes baru yang dilaporkan hari ini daripada kluster Sungai, menjadikan semuanya 98 kes positif dengan hanya seorang warga Thailand, baki ialah warganegara.
Katanya, seramai 25,273 orang disaring dalam kluster ini dan 106 individu dari Kedah masih menunggu keputusan mereka.
5 daerah dikategori zon merah
Hisham berkata, 5 daerah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai zon merah, dengan 4 daripadanya di Sabah, iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna, serta Kota Setar di Kedah.
“Individu bergejala yang baru mengunjungi atau
datang dari zon merah wajib menjalani ujian saringan di fasiliti kesihatan berhampiran.
“Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau
datang dari zon merah juga amat digalakkan melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan serta masyarakat sekitar.”
Selain 97 kes baru di Sabah hari ini, katanya, terdapat 10 kes
dikesan positif Covid-19 sekembali mereka dari Sabah sejak 20 Sept dan semuanya sedang dirawat di hospital.
Mutasi D614G
Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan mutasi jenis D614G hasil ujian pengasingan dan kultur ke atas kluster Benteng Lahad Datu di Sabah.
Tetapi, katanya, ia tiada kaitan dengan mutasi D614G yang ditemui dalam kluster di Kedah.
Oleh itu, beliau menggesa mereka yang berada di Sabah supaya lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan SOP, termasuk pada hari mengundi esok.
IMR mengesan mutasi D614G bulan lalu dan mendapati virus mutasi 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain, jika ia disebarkan individu “super spreader”.