Sudah ingatkan Muhyiddin boleh diugut Umno jika terima kerjasama, kata Dr M

Sudah ingatkan Muhyiddin boleh diugut Umno jika terima kerjasama, kata Dr M

Bekas pengerusi PPBM itu berkata Muhyiddin Yassin boleh diugut oleh Umno jika kemahuan parti itu tidak tercapai.

Bekas pengerusi PPBM Mahathir Mohamad berkata apa yang sedang berlaku sekarang pernah diberitahu olehnya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sudah mengingatkan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, bahawa beliau boleh diugut Umno sekiranya terima kerjasama secara “en-bloc” dengan parti itu.

Bekas pengerusi PPBM itu menjelaskan beliau menolak kerjasama secara “en-bloc” dengan Umno kerana beliau akan terpaksa terima semua ahli Parlimen parti itu, “termasuklah orang yang menghadapi puluhan kes di mahkamah”.

“Apa yang sedang berlaku adalah sesuatu yang telah saya nyatakan kepada Muhyiddin awal-awal lagi.

“Tetapi Muhyiddin berkata dia sanggup bekerjasama dengan Umno secara ‘en-bloc’ walaupun dia boleh diugut oleh Umno jika kemahuan mereka tidak tercapai,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir mengulas kenyataan yang dikaitkan dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi, berhubung dakwaan sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Katanya, jika kenyataan itu benar, maka Muhyiddin tidak boleh lagi menegaskan beliau masih mempunyai majoriti untuk kekal sebagai perdana menteri.

“Umum tahu majoriti yang dipunyai Muhyiddin sebelum ini amat tipis – antara 1 atau 2 orang sahaja – maka jika seorang atau 2 orang ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka, maka hilanglah majoriti Muhyiddin,” katanya.

“Hari ini, jelas apa yang saya jangka akan berlaku sedang berlaku dan kenyataan Zahid semalam mengesahkan sokongan Umno memang bersyarat,” katanya.

Mahathir seterusnya mengingatkan sokongan Umno kepada presiden PKR “juga pasti bersyarat”.

“Sudah pasti yang memberi sokongan kepada Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada (bekas presiden Umno) Najib Razak dan Zahid,” katanya.

Semalam, Zahid dilapor berkata partinya tidak dapat menghalang ahli Parlimennya menyokong Anwar, yang mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada wakil rakyat pelbagai parti untuk dipersembahkan kepada Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.