Pelukis tatu lega dibenar beroperasi semula

Pelukis tatu lega dibenar beroperasi semula

Prosedur operasi standard akan menyukarkan keadan dan menambah kos, kata Ernesto Kalum.

Pelukis tatu Sarawak Ernesto Kalum (kanan) dan rakan. (Gambar Facebook Borneo Headhunter Tattoo Studio).
KUCHING:
Pelukis tatu Ernesto Kalum tidaklah bersorak gembira susulan berita kerajaan negeri Sarawak kini membenarkan kedai tatu dibuka semula setelah diarah tutup selama 6 bulan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kalum, tuan punya Borneo Headhunters Tattoo Studio di Jalan Wayang di sini berkata, beliau kerugian beberapa ribu ringgit setiap bulan sejak Mac dan belum memeriksa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“SOP studio saya memang sedia ada, terutama berhubung kebersihan dan pencemaran silang,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak terima pelanggan datang terus sejak 2008 dan hanya melukis tatu ke atas seorang atau 2 pelanggan sehari.

“Sekarang saya tidak pasti bila akan ada pelanggan pertama. Tetapi yang pasti, SOP itu akan menyukarkan keadaan dan menambah kos operasi.”

Sesi melukis tatu di studio milik Ernesto di Kuching Sarawak. (Gambar Facebook Borneo Headhunter Tattoo Studio).

Kalum, yang terkenal dengan tatu tradisional Iban berkata, beliau kehilangan ramai pelanggan susulan wabak Covid-19.

“Saya hanya terima pelanggan melalui tempahan dan terpaksa membatalkan semuanya kerana Covid-19, termasuk daripada 100 pelanggan luar negara, terutama Eropah.

“Saya kini sedang menjadualkan semula tempahan mereka tahun depan kerana sempadan negara masih ditutup dan ia juga bergantung pada keadaan di negara masing-masing.”

Katanya, beliau tiada pendapatan selama beberapa bulan dan hanya bergantung pada simpanan.

“Saya tidak memohon pinjaman atau bantuan kewangan daripada kerajaan,” katanya.

“Saya berharap kerajaan akan mempermudahkan keadaan, terutama berkaitan SOP kerana kebersihan dan pencemaran silang memang sedia menjadi keutamaan saya.”

Ernesto, graduan undang-undang dari sebuah universiti British, mengasaskan studio itu pada 1998.

Beliau mempelajari seni tatu tradisional daripada orang tua-tua komuniti Ibannya, selain mengkaji teknik moden yang menggunakan mesin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.