
Walaupun mereka sudah biasa mendengar janji-janji pembangunan, pengundi di Darau dan Limbahau, yang terletak kira-kira 30km dari ibu negeri, hanya mahu masalah yang sudah terlalu lama berlarutan selesai.
Darau dan Limbahau antara 13 kerusi baru yang diciptakan oleh persempadanan semula kawasan pilihan raya 5 tahun lepas, dan dipertandingkan buat kali pertama pada pilihan raya negeri.
Bagi penghuni seperti usahawan Francis @ Amin Simon dan bekas guru Sarina Abdullah, Darau mengimbau banjir kilat yang kerap berlaku hampir setiap kali selepas hujan lebat.
“Masalahnya sistem perparitan yang kurang baik dan banyak YB berikrar akan buat sesuatu tetapi masalah tersebut masih berlarutan.
“Jadi, harapan kami sekarang YB akan memastikan masalah ini selesai,” kata Sarina.
Amin, yang sudah hampir 2 dekad bermastautin di Darau, berkata kawasannya nampak macam ketinggalan dari segi pembangunan berbanding kawasan lain seperti Inanam dan Alam Mesra.

Dalam 20 tahun lepas, Amin menyaksikan pertambahan penduduk dan pelbagai bentuk perniagaan di Darau, yang sebahagiannya pernah menjadi sebahagian DUN likas dan Karambunai.
Perlumbaan untuk menawan hati 18,350 pengundi Darau seperti Francis menyaksikan persaingan 5 penjuru termasuk calon Barisan Nasional, Jumat Idris, yang muncul semula selepas digantung Umno pada 2015 kerana mengkritik bekas ketua menteri Musa Aman dan tidak bertanding pada pilihan raya umum 2018.
Di Limbahau, yang terletak dalam daerah Papar, seorang penduduk, Edward Dagul, isu paling mendesak yang perlu ditangani wakil rakyatnya adalah cadangan Empangan Kaiduan, yang terpalit kontroversi sejak ia dicadangkan oleh kerajaan negeri lebih 5 tahun lalu.
Warisan Plus membantah projek itu semasa PRU-14 tetapi gabungan itu menterbalikkan pendiriannya, apabila Ketua Menteri Shafie Apdal mengumumkan pembinaan empangan tersebut akan diteruskan.
Edward berkata isu lain adalah membina sebuah sekolah menengang berasrama di kawasan pedalaman untuk murid-murid dari perkampungan di Banjaran Crocker, seperti Kaiduan dan Mandalipau.
Katanya, bakal Adunnya juga perlu tangani masalah penerimaan isyarat telefon bimbit yang lemah di kawasan pedalaman.
Pada Sabtu, pengundi Limbahau akan memilih seorang daripada 8 calon yang berhasrat mewakili mereka.