
Terliur? Jangan risau. Lima Pulo: Baba Can Cook yang terletak di Jalan Doraisamy, Chow Kit ialah lokasi di mana anda berpeluang untuk menikmati masakan Peranakan asli yang enak.
Jika dilihat pada dekorasi restoran yang terletak di The Row ini, ianya berkongsepkan rumah lama yang akan membawa anda mengimbau memori Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Meja kayu, kipas berdiri era 60-an serta gambar hitam putih yang memaparkan potret keluarga Peranakan digantung pada sekitar dinding, benar-benar memberi suasana baba nyonya apabila melangkah masuk.

Tan Kim Chye atau Uncle John adalah orang kuat atau ‘baba’ di sebalik Lima Pulo: Baba Can Cook. Malah, kesemua masakan Peranakan yang dihidangkan di Lima Pulo merupakan resepi Uncle John yang telah beliau sempurnakan selama bertahun-tahun dengan begitu gigih sekali.
Lapan tahun dahulu, Uncle John membuka restoran ini bersama Alan Yun, seorang pelakon, model dan pemilik restoran dengan harapan untuk memelihara legasi Nyonya terus berkembang.

“Isteri saya Florence Tan merupakan seorang chef selebriti yang telah menerbitkan 2 buku masakan berkonsepkan masakan Nyonya. Saya juga selalu memerhatikan ibu saya memasak di dapur dan saya sendiri telah mula memasak sejak berusia 6 tahun lagi,” katanya.
“Saya sekarang sudah berusia 78 tahun jadi saya percaya yang saya mempunyai kepakaran di dalam masakan Nyonya kerana telah pun merasa dan menikmati masakan Nyonya selama 78 tahun!” ujar Uncle John lagi sambal ketawa.
Tambahan pula, Laksa Nyonya Uncle John telah berjaya meraih anugerah “Kari Laksa Terbaik di Lembah Klang pada 2015.”
Menurut beliau rahsia paling penting di dalam masakan Nyonya datang dari 4 elemen iaitu kasih sayang, kegigihan, kesungguhan dan yang paling utama ialah kesabaran.
Selain Laksa Nyonya, masakan lain yang menjadi tumpuan penyunjung adalah Geram Asam, Pai Tee, Sambal Petai Lima Pulo, Satay Lima Pulo serta pencuci mulit Sago Gula Melaka dan Cendol Nyonya.

Prihatin terhadap situasi ekonomi yang melanda kebanyakan rakyat Malaysia hari ini, Lima Pulo menawarkan promosi makan tengahari bernilai RM9.90 yang sangat berpatutan. Ianya merupakan harga promosi yang masih sama sejak 8 tahun yang lalu.
Nah, jika anda sedang tercari-cari masakan Nyonya asli di Kuala Lumpur, singgah terus ke Lima Pulo dan jangan lupa untuk menyapa Uncle John!
Lima Pulo: Baba Can Cook
50, Jalan Doraisamy
Chow Kit
50300 Kuala Lumpur
Waktu Operasi:
Isnin-Sabtu: 11am-8pm
(Tutup pada hari Ahad)
No. Telefon: 03-2698-3268
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]