Rakyat Malaysia hilang kerja di Singapura perlu bantuan

Rakyat Malaysia hilang kerja di Singapura perlu bantuan

Hampir 16,000 rakyat Malaysia di Singapura tidak layak mendapat sokongan kewangan.

Lebih 15,000 rakyat Malaysia dilaporkan kehilangan pekerjaan di Singapura susulan Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebelum penularan Covid-19, Steven bekerja sebagai pemandu forklift di Singapura, beliau antara ramai rakyat Malaysia yang merentas sempadan demi mencari rezeki dan prospek lebih baik.

Kini, beliau tinggal di Pelabuhan Klang dan bergantung kepada tabung makanan untuk menyara isteri dan 4 anaknya, ketidaktentuan akibat Covid-19 menimpa diri dan keluarganya ketika mereka berusaha memanfaatkan situasi sukar itu.

Steven antara 15,666 rakyat Malaysia yang dilaporkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia kehilangan pekerjaan di Singapura akibat masalah ekonomi daripada tempoh “pemutus rantaian” di republik itu, menyamai perintah kawalan pergerakan di Malaysia.

Pegawai kerajaan dilaporkan berkata, lebih banyak sokongan diperlukan untuk memastikan rakyat Malaysia yang diberhentikan kerja di Singapura mendapat sokongan mencukupi kerana mereka kekurangan perlindungan sosial yang ditawarkan syarikat tempatan.

Pekerja Malaysia biasanya dilindungi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), yang menawarkan gaji pengganti bagi mereka yang diberhentikan kerja baru-baru ini, ia hanya untuk mereka yang bekerja dengan syarikat Malaysia, menyebabkan individu bekerja di luar negara tidak mempunyai perlindungan kewangan, walaupun merupakan warganegara Malaysia.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, yang juga pengerusi ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia, berkata golongan itu termasuk dalam pekerja “sektor tidak formal”, yang bermaksud mereka tidak mendapat faedah seperti individu bekerja dengan syarikat Malaysia dan nasib sama dengan pekerja bebas serta bekerja sendiri.

“Saya sudah mengusulkan kepada kerajaan mengenai kemajuan aplikasi digital yang boleh digunakan untuk mendaftarkan pekerja tidak berada dalam sektor formal dan memerlukan sokongan,” katanya kepada FMT.

Aplikasi cadangannya boleh didapati di peranti mudah alih dan komputer tidak lama lagi dan pekerja sektor tidak formal boleh menyertai program padanan pekerjaan serta skim subsidi upah.

Katanya, kegagalan membantu golongan itu akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara, khasnya Johor.

“Kemungkinannya, kebanyakan mereka berulang-alik dari pelbagai daerah di Johor.

“Dan, 15,000 orang yang hilang pekerjaan bermaksud keupayaan mereka berbelanja akan berkurangan, yang akan memberi kesan kepada perniagaan kecil serta pengeluar di Johor.

“Kerajaan Johor perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga rakyatnya.”

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan sebaliknya mencadangkan tabung pekerjaan atau jaminan pekerjaan persekutuan “kerana kehilangan pekerjaan tanpa dijangka dan secara tiba-tiba boleh terjadi”.

“Kita boleh mengambil jalan tambahan dan menyarankan perkara seperti pembayaran setara jika mereka mempunyai EIS, tetapi akhirnya semua pendekatan itu berdepan beberapa bentuk risiko pengecualian.”

Cadangannya memerlukan kerajaan menilai keperluan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan dalam sektor yang dianggap memerlukan pembangunan.

“Terdapat kos manusia dan kewangan besar untuk menangani pengangguran. Terpulang kepada kerajaan dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia ke-12 untuk menentukan sama ada ia mahu menambah atau berbelanja atas sesuatu yang penting.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.