
Renato Lima de Oliveira berkata, kenaikan dalam royalti minyak, tajuk hangat di Pilihan Raya Negeri Sabah, tidak mungkin berlaku kerana industri itu belum pulih daripada kejatuhan harga minyak pada 2014, serta ketiadaan rizab baru yang signifikan.
“Pengeluaran minyak dan gas dari Malaysia juga lembap, jadi tiada insentif untuk syarikat minyak dan gas menyemak semula kontrak sedia ada,” kata penolong profesor Sekolah Perniagaan Asia itu.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin baru-baru ini yang bayaran royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak tidak boleh dinaikkan kepada 20% kerana ia membabitkan perjanjian sedia ada dengan syarikat minyak, termasuk syarikat antarabangsa.

Jika semakan royalti dilakukan, de Oliveira berkata, ia akan meningkatkan kos syarikat minyak dan gas yang menyebabkan terlalu mahal untuk mereka beroperasi.
“Ia juga tidak akan menggalakkan penerokaan telaga baru kerana kos imbang meningkat, menjadikannya lebih sukar untuk membawa pelaburan baru dan menggantikan rizab.
“Sampai tahap tertentu, negeri-negeri itu mungkin berdepan perjuangan abad ke-20, apabila penguasaan rizab minyak terlalu dikaitkan dengan wang dan kuasa.”
De Oliveira menasihatkan 2 negeri itu memfokuskan strategi jelas untuk mempelbagaikan ekonomi mereka dan melabur dalam sumber manusia.
“Minyak dan gas, sebagai sumber pendapatan, mungkin merosot dalam beberapa tahun kerana bahan bakar fosil menghadapi saingan semakin meningkatkan daripada tenaga boleh diperbaharui.
“Buat masa ini, kita dalam kelembapan ekonomi dan kekurangan pertumbuhan, jadi cuba mendapatkan lebih banyak pendapatan akan membahayakan kemampuan industri untuk pulih dan melabur dalam pengeluaran masa depan.”
Katanya, pihak berkepentingan perlu berbincang cara menggunakan pendapatan minyak dan gas, serta memastikan negeri pengeluar minyak mendapat manfaat lebih banyak daripada sumber semula jadi dan mampu berkembang maju apabila kehabisan sumber semula jadi.