Ahli Parlimen tak boleh bertindak luar Dewan Rakyat, sesuka hati, kata Ku Li

Ahli Parlimen tak boleh bertindak luar Dewan Rakyat, sesuka hati, kata Ku Li

Akaun berkanun atau perkara lain tidak bermakna malah terlucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentukan di Dewan Rakyat, dengan ahli yang hadir harus mengundi.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata ahli Parlimen tidak boleh bertindak mengikut sesuka hati walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat, walaupun memiliki akuan berkanun (SD) menyatakan sudah memiliki sokongan lebih daripada separuh bilangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Tengku Razaleigh berkata, SD atau perkara lain adalah tidak bermakna, malah terlucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentukan dalam Dewan Rakyat, dengan ahli yang hadir harus mengundi, serta tidak boleh melalui proksi.

“Perdana menteri juga mesti menghadap Agong apabila beliau hilang sokongan untuk meletak jawatan perdana menteri dan memohon kepada Agong untuk bubar Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum.

“Atau melantik ahli Parlimen lain yang Agong berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan, dipercayai menjawab Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa sudah mempunyai bilangan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, disebabkan itu ahli Parlimen tidak boleh bertindak mengikut sesuka hati, walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup.

“Pandai-pandai hendak tubuh kerajaan tanpa dijemput oleh Agong berbuat demikian,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan beliau sudah mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu, daripada ahli Parlimen pelbagai parti dan pihak kerajaan, dan boleh membuktikan sokongan itu “secara konklusif”.

Muhyiddin Yassin bagaimanapun menjawab kenyataan itu dengan menggesa Anwar membuktikan, menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata “tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Anwar hanyalah dakwaan semata-mata”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.