Kementerian Kerja Raya tunggu laporan penuh konkrit hempap kereta

Kementerian Kerja Raya tunggu laporan penuh konkrit hempap kereta

Fadillah Yusof berkata, JKR akan mengambil tindakan selepas mendapat laporan penuh dari CIDB dan DOSH.

Seorang wanita berusia 25 tahun cedera di tangan kiri selepas keretanya dihempap kepingan konkrit daripada kerja pembinaan Suke, berhampiran Bandar Tasik Selatan Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kerja Raya sedang menunggu laporan penuh siasatan ke atas insiden parapet atau panel konkrit tembok sisi jambatan yang terjatuh dari struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) minggu lalu.

“Secara asasnya, kita kena lihat dari perspektif yang berbeza. Pertama, melalui perspektif reka bentuk, monitor lokasi, lihat keseluruhan kerja melibatkan jurutera dan jurutera yang melakukan pemeriksaan.

“Kita akan dapatkan laporan penuh dari CIDB dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan). Jabatan Kerja Raya seterusnya akan ambil tindakan selepas itu,” kata Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof selepas sesi libat urus penggiat industri bersamanya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapha Mohamed di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang Sabtu lalu, seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja pembinaan Suke, berhampiran Bandar Tasik Selatan, menghempap keretanya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang mengakibatkan kereta itu remuk dan tangan kiri wanita terbabit cedera.

Susulan itu, Fadillah dilaporkan berkata, beliau mengarahkan CIDB dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) segera melaksanakan audit menyeluruh berkaitan kerja melibatkan keselamatan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.