Dari Hobi ke ‘Money’

Dari Hobi ke ‘Money’

Ramai yang tidak sedar, bakat yang mereka ada sebenarnya mampu memberi pendapatan sampingan mahu pun tetap kepada mereka.

Permainan video yang kini jadi kegilaan boleh menjana pendapatan. (Gambar Bloomberg)

Tahukan anda bahawa hobi yang sekadar suka-suka sebenarnya boleh menjana pendapatan? Ramai yang tidak sedar, bakat yang mereka ada sebenarnya mampu memberi pendapatan sampingan mahu pun tetap kepada mereka. Dewasa ini apatah lagi dalam arus teknologi siber pelbagai perkara boleh menjadi duit. Mari kita senaraikan 6 jenis hobi yang boleh menjadi sumber pendapatan lumayan.

1. Permainan Video

Memang tidak pelik lagi sekarang, permainan video yang dikatakan melalaikan boleh menjana pendapatan. Malah, ada remaja yang menjadi jutawan kerana bermain video sahaja. Ada permainan video yang memerlukan pemain mempunyai alat bantuan yang kononnya akan digunakan karakter si pemain untuk meraih kemenangan, justeru mereka sebenarnya boleh menjual-beli alat bantuan yang dimiliki kepada pemain lain. Dari situ, pemain boleh mendapat duit jika mereka bijak berdagang secara atas talian.

2. Menanam Pokok

Minat menanam pokok bukan ada pada semua orang tetapi yang benar-benar minat bercucuk tanam boleh menjadikan ia sebagai salah satu sumber pendapatan. Lebihan hasil tanaman seperti sayuran boleh dijual. Ada juga yang menanam pokok hiasan dan menjualnya setelah diletakkan dalam pasu yang cantik. Masyarakat sekarang juga lebih gemar untuk membeli barangan yang sedia cantik dari membuatnya sendiri.

3. Kraf tangan

Bakat menghasilkan sesuatu dari bahan-bahan terbuang atau barangan semulajadi boleh memberikan pendapatan lumayan kepada kita. Ada yang menjadikan bahan terbuang seperti botol, siput, botol mineral, bekas telur dan banyak lagi sebagai barang perhiasan yang cantik dan menjualnya dengan harga yang menguntungkan. Malah, ada yang boleh meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan dengan hanya menjual hasil kraf tangan barangan terbuang sahaja.

4. Mekap

Rata-rata kini jika dilihat di media sosial, ada sahaja tutorial mengenai mekap. Bermula dari cuba-cuba bersolek akhirnya menjadi minat untuk merakamkan video dan membuat tutorial. Jika berupaya mengundang ramai ‘follower’ mungkin anda bakal menjadi perhatian kosmetik berjenama besar di pasaran untuk menjadi penaja. Anda bukan sahaja mendapat mekap yang ditaja tetapi juga mendapat bayaran kerana membuat ‘review’ dan meraih jumlah tontonan.

5. Melancong

Melancong juga boleh menjana pendapatan. Anda boleh membuat bloq sendiri untuk menceritakan mengenai pengalaman perjalanan. Malah, anda juga boleh menawarkan diri sebagai pemandu pelancong sekiranya ada yang berminat untuk ke tempat yang anda pernah lawati. Pelajar yang berada di luar negara juga boleh menawarkan khidmat pemandu pelancong kepada warga tempatan yang ingin melancong ke luar negara.

6. Menulis

Sekiranya anda suka menulis, peluang untuk membuat duit agak lumayan jika anda kenal mana-mana syarikat penerbitan yang berminat untuk membeli hasil karya anda samada novel atau apa sahaja buku yang boleh memberikan manafaat kepada orang ramai. Jika mereka ingin menerbitkan hasil karya anda, ini adalah satu pendapatan untuk anda. Seorang penulis blog juga boleh meraih pendapatan melalui hasil tulisan bloqnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.