
Ini berikutan kenyataan Shafie bahawa kerajaan negeri perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan rakyat Sabah yang positif Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu keluar mengundi.
Beliau dilaporkan mencadangkan barisan berasingan untuk kumpulan itu di pusat mengundi.
Timbalan presiden PCS Pang Yuk Ming berkata, Shafie kelihatan lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya daripada keselamatan orang ramai, selain menambah bahawa cadangan itu akan mendedahkan rakyat Sabah kepada risiko semata-mata bagi membolehkan beliau terus berkuasa.
“Adakah beliau dan Warisan terlalu terdesak untuk menang dalam pilihan raya ini sehingga gagal melihat risiko membenarkan individu yang disahkan positif wabak berbahaya ini keluar mengundi?
“Adakah Shafie berkata demikian kerana beliau mahu seramai mungkin pengundi, termasuk yang disahkan positif virus itu keluar mengundi?

“Apakah jawapan beliau dan Warisan sekiranya bilangan kes tiba-tiba tidak dapat dikawal kerana sikap mementingkan diri mereka?
“Benar, kita tidak boleh menghalang mana-mana orang daripada menunaikan hak untuk mengundi. Namun kita berdepan keadaan wabak yang berbahaya sekarang. Nyawa manusia lebih penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafie dilaporkan membuat cadangan itu ketika ditanya berhubung peningkatan kes Covid-19 di Sabah, terutama di Lahad Datu dan Tawau, dan sama ada ia akan memberi kesan ke atas angka keluar mengundi kelak.
Beliau dipetik oleh akhbar Daily Express sebagai berkata: “kita boleh menyediakan SOP bagi mereka yang didapati positif (Covid-19). Satu barisan boleh dibuat untuk mereka. Kita tidak boleh halang mereka menunaikan hak (mengundi).”
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said juga menyokong idea itu dengan berkata, satu mekanisme harus disediakan bagi memastikan rakyat Malaysia yang dijangkiti wabak Covid-19 boleh mengundi.
Timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata, semua pengundi berdaftar berhak mengundi walaupun mereka “tidak dapat berjalan”.