Muhyiddin ikrar tak kompromi amalan ekstremisme

Muhyiddin ikrar tak kompromi amalan ekstremisme

Perdana menteri berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan amalan dan fahaman ekstremisme tanpa mengira agama.

Muhyiddin Yassin menerima cenderamata daripada Yayasan Dakwah Islamiah ketika perjumpaan khas bersama pemimpin NGO Islam di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Perdana menteri berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan amalan dan fahaman ekstremisme tanpa mengira agama.

“Dalam usaha kita membela dan mempertahankan kesucian agama Islam dan kemurnian akidah umat Islam, suka saya ingatkan supaya kita tidak mengambil pendekatan yang ekstrem atau melampau sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat majmuk.

“Kita mesti ingat Malaysia adalah negara majmuk yang sentiasa mementingkan kesederhanaan dan keharmonian dalam hubungan kaum dan agama,” katanya sewaktu berucap dalam perjumpaan khas bersama pemimpin NGO Islam hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan lebih sensitif dan responsif terhadap suara NGO Islam.

Beliau percaya ruang yang diwujudkan kerajaan akan dimanfaatkan masyarakat Islam di negara ini.

Katanya, terdapat pimpinan NGO Islam yang menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran besar dihadapi umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

“Antaranya ialah pelbagai bentuk perkembangan baru dalam pemikiran dan cara hidup masyarakat yang dilihat mengancam akidah dan akhlak umat Islam. Ini termasuklah pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme Barat.

“Ideologi ini tidak melihat agama sebagai sesuatu penting dalam kehidupan manusia, sebaliknya lebih mengagungkan kebebasan individu yang tidak terbatas sehingga melanggar hukum-hakam syariat Islam.”

Beliau berkata, pengaruh itu mewujudkan pelbagai bentuk gerakan di peringkat antarabangsa, termasuk di Malaysia, yang mendesak pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam dikaji semula.

“Saya perhatikan perkembangan ini mewujudkan keresahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia, yang kita tahu berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keadaan ini juga menyebabkan ramai pimpinan NGO Islam bangkit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.