
Kajian itu membabitkan 301 kanak-kanak berusia 11 hingga 18 tahun di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Kemboja.
Kandungan seksual dalam talian itu berbentuk mesej, imej atau video seksual yang mereka tidak mahu.
Sebanyak 22.8% daripada kanak-kanak itu berkata, mereka pernah diminta bercakap mengenai tindakan seksual oleh seseorang dalam talian walaupun mereka tidak mahu, manakala 17.6% pernah diminta menunjukkan gambar atau video bahagian sulit mereka.
Menurut laporan itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan dilaporkan pernah diminta untuk gambar eksplisit, dengan hanya sebilangan kecil memutuskan memaklumkan ibu bapa perkara itu.
“Kebanyakannya segera menyekat penghantar itu, tetapi ada yang menghantar respons meminta orang tidak dikenali itu tidak menghantar imej kepada mereka, atau bertanya kenapa mereka menghantarnya. Ini biasanya akan membawa kepada permintaan untuk remaja itu menghantar imej atau individu tidak dikenali itu menghantar gambar lain.
“Apabila diminta berkongsi pengalaman mereka secara rahsia melalui soal selidik, 7 daripada 10 kanak-kanak itu memberitahu mereka mengalami sesuatu dalam talian yang membuatkan mereka kecewa sepanjang tahun lalu.
“Dua daripada 5 orang melaporkan mereka mempunyai pengalaman buruk yang mereka tidak mahu berkongsi atau beritahu sesiapa pun,” kata laporan itu.
Kebanyakan responden, khasnya perempuan, juga berkata mereka menerima permintaan menjadi kawan daripada orang tidak dikenali, lebih-lebih lagi jika individu itu ialah wanita kerana ia kelihatan lebih selamat daripada permintaan lelaki.
Laporan itu menggesa syarikat teknologi menyediakan profil media sosial secara terus bagi melindungi privasi kanak-kanak, selain menambah WhatsApp ialah aplikasi khusus yang perlu dipantau secara dekat.
Katanya, kanak-kanak perlu dilengkapi kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memastikan mereka selamat dalam talian, manakala ibu bapa dan guru juga perlu mengasah kemahiran digital mereka.
Laporan itu turut mendapati kanak-kanak dalam kajian mempunyai cara tersendiri melindungi diri, termasuk meletak nama palsu dalam profil mereka, membuka beberapa akaun media sosial dan menyekat “tingkah laku menyeramkan”.
Mereka yang terbabit dalam kajian itu ialah kanak-kanak daripada golongan miskin bandar, dengan 163 ialah perempuan dan 138 lelaki.
Daripada 301 responden itu, 127 dari Malaysia, Indonesia (77), Kemboja (61) dan Thailand (36).