
Katanya, ketua menteri sepatutnya memfokuskan urusan pembangunan, bukannya berpolitik sepanjang masa.
“Ada orang cakap, Shafie ini dia bangun saja terus nampak muka saya, dia ini mungkin takut dengan bayang-bayang saya, sedangkan saya bukan lagi calon, bukan lagi ketua menteri.
“Mana ada ketua menteri yang selepas dilantik saja kerja dia buka fail untuk mencari kesalahan kerajaan atau ketua menteri terdahulu, sepatutnya beri tumpuan kepada pembangunan Sabah. Ini dia (Shafie) tahu umum saja,” katanya pada majlis bersama rakyat di Kiulu hari ini yang turut dihadiri calon PBS di DUN itu, Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, rakyat kini sedar kerajaan negeri pimpinan Warisan sangat teruk prestasinya sehingga mengakibatkan ekonomi Sabah jatuh.
“Pada 26 Sept ini, kita ada pilihan raya. Ingat, jangan salah pilih, kalau dulu mereka kata ubah, ini kali kita ubah balik.”
Sementara itu, Musa menyifatkan lawan Joniston di DUN Kiulu, iaitu Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau sebagai “raja segala katak” kerana menyebabkan kerajaan Barisan Nasional tumbang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Sampai hati Madius, saya banyak membantu dia sebelum ini, dia menjadi menteri di persekutuan, tetapi sebab dialah kerajaan kita dulu jatuh.
“Kita bukan kalah, BN ada 31 kerusi, Warisan dan sekutu mereka 29 kerusi, tetapi Madius membawa Adun dia melompat, dialah raja segala katak.”
Katanya, beliau ke Kiulu untuk membantu Joniston berkempen bagi memastikan kemenangan PBS.
“Joniston seorang pemimpin yang baik dan telah banyak membawa perubahan di Kiulu. Oleh itu, tiada sebab untuk pengundi di sini menukar beliau.
“Beliau juga seorang yang lantang dan berani menyuarakan isu-isu yang mempunyai kepentingan buat rakyat Sabah, termasuk mengenai PATI (pendatang asing tanpa izin) dan sebelum ini mengenai PSS (Pas Sementara Sabah).”
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah