
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, ketika ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur dan dalam pemantauan rapi pasukan perubatan.
“Keadaannya masih sama seperti semalam, dan saya dimaklumkan oleh pasukan perubatan di sana, dia masih dalam keadaan kritikal.. kami juga akan dapatkan perkembangan beliau dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Dalam kejadian Rabu lepas 3 wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.
Mengulas lanjut, Sahabudin berkata tiada sesiapa yang berada di kawasan parkir stesen minyak itu mengesyaki sesuatu terjadi kepada mangsa berkenaan kerana mereka dilihat sedang berehat sahaja dalam kenderaan semasa kejadian.