Kontraktor projek KVDT2 saman kerajaan, menteri tamatkan kontrak

Kontraktor projek KVDT2 saman kerajaan, menteri tamatkan kontrak

Dhaya Maju-LTAT mendakwa tiada sebab untuk Wee Ka Siong membatalkan kontrak itu dan membuka semula tender.

Mahkamah menolak permohonan Dhaya Maju-LTAT untuk mendapatkan injunksi sementara menghalang kerajaan ‘menamatkan kontrak’ Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 sementara menunggu pelupusan saman utama dalam kes itu.
KUALA LUMPUR:
Kontraktor untuk projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) memfailkan saman terhadap kerajaan dan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong atas “keputusan menamatkan” kontrak itu.

Bagaimanapun, Dhaya Maju-LTAT hari ini gagal dalam permohonan mendapat injunksi sementara menunggu pelupusan saman utama dalam kes itu.

Mahkamah hari ini turut mendengar tiada penamatan kontrak secara rasmi yang dikeluarkan kerajaan.

Dalam saman itu, Dhaya Maju-LTAT mendakwa tiada sebab di bawah undang-undang untuk Wee “menamatkan kontrak itu” dan membuka semula tender.

“Satu-satunya kesimpulan logik semula jadi ialah defendan ke-2 (Wee) bertindak dengan niat buruk, atau dengan motif tidak wajar,” kata syarikat itu.

Dhaya Maju-LTAT berpendapat, Wee perlu bertanggungjawab kerana menyalahgunakan kuasa dalam jawatan awam akibat tindakannya itu.

Katanya, mereka menyelesaikan kerja untuk kerajaan yang berjumlah lebih RM300 juta, sehingga 30 Jun lalu.

“Kami berpendapat kami tidak pernah diberikan peluang untuk didengar menteri bagi mengemukakan hujah mengenai surat penerimaan dan mengkaji semula jumlah kontrak kerana beliau didorong motif tidak wajar untuk menjejaskan kami,” kata Dhaya Maju-LTAT.

Mereka meminta perisytiharan mahkamah yang penamatan kontrak oleh Wee dan kerajaan tidak sah.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Mohamed Razeek Hussain dilaporkan berkata, mereka keliru dengan penamatan kontrak itu kerana “tiada justifikasi berfakta atau undang-undang”.

Katanya, Dhaya Maju-LTAT dilantik sebagai kontraktor projek itu dan menerima surat penganugerahan asal pada 4 April 2018 untuk projek itu di bawah kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

Katanya, kenyataan Wee mengenai projek itu gagal menggambarkan dan menerangkan latar belakang perkara itu dengan tepat.

Pada 28 Ogos lalu, Wee dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju menukar projek menaik taraf KVDT2 kepada tender terbuka dan membatalkan kontrak rundingan terus selepas mendapati kos projek itu melebihi kos asal.

Wee dan bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook, kemudiannya berperang mulut mengenai kos projek itu.

KVDT2 antara 101 projek berjumlah RM6.61 bilion yang didakwa kerajaan Perikatan Nasional di Parlimen baru-baru ini diberikan secara rundingan terus di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Injunksi ditolak 

Hakim Mahkamah Tinggi, Aliza Sulaiman hari ini mendengar hujah daripada peguam Dhaya Maju-LTAT, Cecil Abraham, dan Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali serta Habibah Haron dalam permohonan syarikat itu untuk mendapatkan injunksi sementara menunggu pelupusan saman utama dalam kes itu.

“Saya tidak membenarkan injunksi sementara kerana kerajaan dan pegawai tidak boleh dihalang daripada menjalankan tugasan awam mereka. Saya tidak nampak keperluan untuk perintah sementara ini didengar.”

Mahkamah mengarahkan syarikat itu membayar kos RM10,000 kepada kerajaan.

Aliza turut mengarahkan kerajaan memfailkan pernyataan pembelaan menjelang 2 Okt dan menetapkan 19 Okt untuk sebutan semula kes itu.

Abraham berkata, syarikat itu akan memfailkan rayuan terhadap penolakan permohonan injunksi sementara itu.

Asliza dan Habibah berkata, mahkamah tidak boleh mengeluarkan perisytiharan untuk menghalang kerajaan menjalankan tugas mereka.

“Jika kita mahu menamatkan kontrak, kita perlu memaklumkan pihak terbabit melalui pemberitahuan rasmi. Tetapi, dalam kes kita hari ini tidak ada notis rasmi. Bagi mereka meneruskan tindakan sivil ini terlalu awal,” kata Asliza.

Abraham berkata, tindakan Wee mengeluarkan kenyataan media pada 28 Ogos lalu sama seperti memberi tanggapan kontrak itu akan dibatalkan.

“Kami tidak berniat menghalang kerajaan dan menteri dalam melaksanakan tugasan awam mereka. Kes hari ini bersifat kontraktual semata-mata.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.