Ubah sistem pilihan raya, jamin perwakilan kumpulan minoriti, kata penganalisis

Ubah sistem pilihan raya, jamin perwakilan kumpulan minoriti, kata penganalisis

Penganalisis berkata, sistem ‘first-past-the-post’ sedia ada membolehkan kuasa bertumpu pada pemimpin parti yang menang.

Bekas ahli Parlimen Tawfik Ismail berkata, Umno, MCA dan MIC tidak lagi mewakili idealisme yang mereka perjuangkan pada dekad lepas.
PETALING JAYA:
Sebilangan penganalisis dan ahli politik menggesa penggunaan sistem pilihan raya bercampur bagi membantu pengundi menikmati perwakilan lebih baik di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka berkata, sistem “first-past-the-post” (FPTP) sedia ada membolehkan kuasa bertumpu pada pemimpin parti yang menang, sekali gus mengesyorkan penggunaan sistem pilihan raya perwakilan campuran berkadar (MMP).

Penganalisis kanan Penang Institute Yeong Pey Jung berkata sistem pengundian MMP yang diamalkan di New Zealand dan Jerman membolehkan sistem berkadar kerana pengundi mempunyai 2 undi, iaitu undi parti bagi memilih parti yang mewakili pengundi di Parlimen dan undi untuk memilih ahli Parlimen.

Yeong Pey Jung

Parti yang mendapat jumlah undi lebih besar akan mendapat lebih banyak kerusi di Parlimen.

Beliau berkata, banyak kumpulan minoriti seperti wanita, Orang Asli dan lain-lain tidak diwakili kerana sistem FPTP sedia ada yang menghendakipengundi memilih calon pilihan mereka dan calon yang mendapat paling banyak undi akan menang.

Beliau berkata begitu semasa berucap pada forum bertajuk “Does a Third Political Force Stand A Chance under The First-Past-The-Post Election System?” yang dianjurkan oleh Bersih 2.0.

Yeong berkata, penyertaan wanita dalam politik adalah rendah kerana budaya masyarakat lebih bercenderung untuk memilih seorang lelaki berbanding dengan seorang wanita.

Katanya, sistem MMP akan dapat membetulkan masalah itu kerana rakyat berpeluang memilih calon yang akan mewakili mereka.

Thomas Fann

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann, yang memudah cara forum itu berkata, jika Malaysia masih mengekalkan sistem FPTP, kumpulan kecil dan minoriti akan terus mengalami masalah perwakilan di Parlimen.

Beliau berkata, terdapat gesaan untuk mengekalkan sistem FPTP di peringkat DUN dan menggunakan sistem MMP di peringkat Parlimen supaya orang muda, wanita, gerakan sosialis dan sebagainya mendapat peluang untuk diwakili.

Peguam Lim Wei Jiet, yang kini bekerja dengan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan sebuah parti berasaskan orang muda berkata, suara golongan muda perlu didengar.

Lim Wei Jiet

“Golongan berumur 15 sehingga 39 mewakili lebih 40% penduduk, tetapi 80% ahli politik berumur 60 ke atas.

“Adakah ia menggambarkan situasi sebenar Malaysia. Tidak. Jika tiada perwakilan, suara orang muda juga tidak dapat didengar,” kata Lim.

Tawfik Ismail, yang mewakili “Malaysian Action for Justice and Unity” (Maju) berkata, orang ramai sudah meluat dengan ahli politik, terutama selepas berlakunya perubahan kerajaan secara tiba-tiba pada Februari.

Bekas ahli Parlimen Umno itu berkata, perubahan diperlukan kerana Malaysia sudah kehilangan kompas moral kerana Umno, MCA dan MIC tidak lagi mewakili idealisme yang mereka perjuangkan pada dekad lepas.

S Arulchelvan

“Maju bercadang untuk meletakkan 15 hingga 20 calon Bebas dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan kami sedang menyediakan senarai semak yang ketat untuk memastikan calon kami sihat dan berintegriti,” katanya merujuk kepada kumpulan yang dikenali sebagai “blok ke-3” dalam politik Malaysia.

S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata, parti itu juga mencadangkan campuran sistem MMP dan FPTP bagi menambah perwakilan golongan minoriti di Parlimen.

“Parti politik besar mendapat sokongan syarikat korporat besar dan ini lebih menyukarkan parti dan gerakan politik yang lebih kecil untuk menang,” kata beliau.

Arutchelvam berkata, susulan wabak Covid-19, rakyat lebih peka berhubung perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan aktiviti mencari rezeki, selain isu pekerjaan dan perumahan.

“Pengundi akan mempunyai peluang untuk memilih berdasarkan isu sebenar, bukannya kaum dan agama,” kata beliau, dengan menambah bahawa sistem MMP melahirkan perwakilan daripada pelbagai golongan di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.